KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu melahirkan rasa kurang senang apabila rekod mencatatkan sehingga 5 Mei 2025, lebih daripada 4 juta kampit Beras Putih Tempatan (BPT) Bersubsidi telah diagihkan ke seluruh negara namun, sambutan daripada pengguna masih belum memadai.
Kata Mohamad,inilah cabaran kerajaan hari ini apabila sesuatu yang baik ditawarkan, belum tentu diterima.
“Maka, sebagai langkah memperbaiki keadaan, had pembelian BPT telah ditingkatkan daripada dua kampit kepada lima kampit bagi setiap transaksi. Kita mahu memastikan stok BPT bersubsidi ini tidaklah berlapuk dan akhirnya dimakan bubuk.
“Realitinya, pengguna Malaysia masih cenderung memilih beras berdasarkan jenama. Sama ada ia beras tempatan atau import, itu bukan keutamaan. Ini bukan soal suka atau tidak suka, tetapi hasil daripada tabiat pasaran yang telah terbentuk sekian lama. Kita perlu faham dan tangani corak ini dengan pendekatan yang strategik, bukan retorik.
“Sayangnya, apabila berlaku kekurangan atau gangguan dalam pasaran, ada pihak yang pantas menjadikannya isu politik. Mereka tidak mahu melihat gambaran penuh.
“Tidak mahu memahami bahawa masalah ini bukan hanya soal bekalan semata-mata. Ia lebih rumit, melibatkan struktur pasaran, psikologi pengguna dan cabaran logistik,”katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Meskipun kecewa namun Mohamad yang juga Presiden Amanah itu menegaskan tidaklah bermaksud mahu menyalahkan mana-mana pihak.
“Tetapi bagi saya, masa tidak boleh dibazir dengan menyalahkan sesiapa. Yang lebih penting ialah apa tindakan kita untuk ke hadapan.
“Saya telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) supaya melancarkan kempen nasional bertemakan “Saya Pilih Beras Tempatan” bermula bulan hadapan. Kempen ini bukan sekadar kempen komunikasi, tetapi gerakan untuk mengubah cara fikir rakyat Malaysia.
“Ia bertujuan menyedarkan pengguna bahawa beras tempatan bukan sahaja setanding dari segi kualiti dan rasa, malah membawa nilai ekonomi dan strategik yang besar, membantu pesawah meningkatkan pengeluaran domestik, dan yang lebih penting, mengurangkan kebergantungan kita kepada import.
“Kalau kita serius tentang keterjaminan makanan, kalau kita benar-benar mahu memperkukuh kedaulatan negara, maka kita harus mulakan dengan satu tindakan mudah: pilihlah beras tempatan.
“Saya menyeru semua pihak baik pesawah, pengguna, pengedar, agensi dan NGO untuk sama-sama menyokong usaha ini. Bukan kerana ia disuruh kerajaan. Tetapi kerana ia baik untuk negara,” seru beliau.
Menurut Ahli Parlimen Kota Raja itu lagi, Kerajaan Madani komited untuk memajukan sektor padi dan beras negara melalui pelbagai pendekatan menyeluruh daripada subsidi bersasar, sokongan kepada pesawah, pelaburan dalam infrastruktur, hinggalah kepada kempen kesedaran pengguna.
“Usaha ini bukan sahaja bertujuan memastikan bekalan makanan mencukupi, tetapi juga memperkukuh kedaulatan makanan dan menjadikan industri padi lebih mampan dan berdaya saing.
“Kalau kita mahu negara maju dan berdikari, maka kita mesti berani membuat pilihan yang tepat dan beras tempatan adalah salah satu daripadanya,” ujar beliau.