Palestin seru Pope Leo XIV teruskan misi suci mendiang Pope Francis

- Advertisement -

RAMALLAH- Presiden Palestin Mahmoud Abbas bersama komuniti Kristian Gaza dan kepimpinan Hamas menyeru Pope baharu, Robert Prevost atau Leo XIV, agar meneruskan usaha damai yang telah dirintis oleh mendiang Pope Francis.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan lewat Khamis, Abbas mengucapkan “tahniah dan mendoakan kejayaan” Pope Leo XIV dalam menjalankan misi suci beliau serta “meneruskan legasi Pope Francis yang telah pergi.”

Abbas turut menekankan peranan penting moral, agama dan politik yang dimainkan oleh Vatican dalam membela keadilan global.

Beliau menegaskan, “hak rakyat Palestin untuk kebebasan dan kemerdekaan” seharusnya menjadi keutamaan dalam perjuangan tersebut. Di Gaza, komuniti Kristian yang kecil turut menyambut baik pelantikan Pope baharu itu.

George Antone, ketua jawatankuasa kecemasan di Gereja Holy Family, berkata: “Kami gembira dengan pemilihan Pope… kami berharap hatinya akan terus bersama Gaza seperti Pope Francis.”

Antone merujuk kepada keprihatinan mendalam yang ditunjukkan Pope Francis semasa konflik di Gaza, termasuk tindakan beliau menghubungi gereja secara langsung sejurus perang tercetus pada Oktober 2023 – satu amalan yang dikatakan berterusan setiap malam sepanjang tempoh perang.

“Kami merayu agar Pope baharu melihat Gaza melalui mata Pope Francis dan merasainya dengan hati beliau,” tambah Antone, lapor Agensi.

Dalam perkembangan sama, pasukan pejuang Palestin, Hamas turut mengucapkan tahniah kepada Pope Leo XIV dan menyatakan harapan agar beliau akan “meneruskan jalan mendiang Pope Francis dalam menyokong golongan tertindas dan menolak genosid di Gaza.”

Perang di Gaza bermula apabila Hamas melancarkan serangan ke selatan Israel yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menculik lebih 250 tebusan.

Sejak itu, Israel melancarkan serangan balas udara dan darat yang telah mengorbankan lebih 52,000 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan yang dikendalikan Hamas.

Banyak kawasan di Gaza kini musnah teruk.

Kompleks Gereja Holy Family di Gaza kini menempatkan kira-kira 450 orang Kristian serta menyediakan perlindungan untuk warga tua dan kanak-kanak, termasuk 30 orang Muslim.

Daripada kira-kira 2.3 juta penduduk Gaza, hanya sekitar 1,000 merupakan penganut Kristian – kebanyakannya daripada Gereja Ortodoks Yunani.

Pope Leo XIV, seorang bekas mubaligh dari Chicago, menjadi Pope pertama dari Amerika Syarikat.

Harapan kini diletakkan kepadanya untuk membawa mesej keamanan dan kemanusiaan di tengah-tengah konflik yang berpanjangan di Timur Tengah.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat