Warga Emas Bersama Tiga Anak Tunai Tanggungjawab Mengundi

KUCHING – Seorang wanita warga emas berusia 81 tahun dengan tiga anaknya bersama-sama menunaikan hak dan tanggungjawab untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ( PRU-14) hari ini.

Menurut Jahara Harun, 81, berkata, dia tidak pernah terlepas untuk mengundi yang dilihat penting bagi memilih wakil rakyat mereka.

“Setiap undi adalah penting maka saya menekankan kepada anak-anak agar menjalankan hak mereka.

“Saya telah mengundi kira-kira 12 kali sejak 1969 setelah Sarawak bersama menubuhkan Malaysia,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kuching No 1 di sini sebentar tadi.

Jahara bersama tiga anaknya, Biyati Putit, 45, Saadiah Putit, 56, dan Mariam Putit, 58, selesai membuang undi pada pukul 9.30 pagi tadi.

Menurut Biyati, dia telah diajar oleh ibunya tentang kepentingan mengundi yang menjadi hak rakyat.

“Kita perlu memilih pemimpin yang dapat membantu dan menjaga kebajikan rakyat bukannya yang hanya mahu bergelar ahli parlimen dan tidak buat kerja.

“Proses pengundian dilihat kali ini berjalan lancar namun kedudukan tempat mengundi agak jauh yang menyukarkan warga emas terutama mereka bertongkat dan kerusi roda untuk ke sana,” jelasnya.

Biyati berkata, kelihatan juga kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mencukupi untuk membantu beberapa warga emas yang memerlukan bantuan di sini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.