Suami Isteri Berkerusi Roda Semangat Mengundi

MIRI – Meskipun kesihatan tidak begitu baik dan terpaksa berkerusi roda, sepasang suami isteri warga emas tetap menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tan Kian Piau, 74, dan isterinya, Sim King Hiang, 70, tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Bintang seawal jam 7.30 pagi ditemani anak mereka, Tan Khing Chong, 35.

Menurut Khing Chong, kesihatan ibu bapanya tidak begitu baik, namun mereka tetap bersemangat mengundi bagi Parlimen Miri.

Beliau berkata, bapanya tidak dapat berdiri lama kerana masalah saraf kaki, manakala ibu pula terjatuh baru-baru ini dan mengalami kecederaan di tulang pinggul

“Sejak semalam, ibu dan bapa berulang kali mengingatkan saya untuk membawa mereka mengundi,” katanya ketika ditemui NSTP di sini, petik BH

Dalam pada itu, Kian Piau berkata, beliau tidak pernah terlepas mengundi pada PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sejak berusia 22 tahun.

“Mesti mahu undi, ini tanggungjawab saya,” katanya ringkas.

Kerusi Parlimen Miri ditandingi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, dan Dr Michael Teo Yu Keng mewakili PKR.

Ada seramai 80,386 pemilih berdaftar bagi Parlimen Miri.

Keterangan gambar:

Kian Piau dan isteri selesai mengundi di SK Jalan Bintang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.