Barong Semakan Pengundi PKR Kosong Tanpa Petugas Parti

KUALA TERENGGANU – Pengerusi pakatan pembangkang negeri, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mengakui kekurangan tenaga jentera parti menyebabkan barong semakan mereka kosong kerana PKR tidak mampu menyaingi jentera parti BN dan PAS yang ramai.

“Bagaimanapun tidaklah semua pos di pusat mengundi kosong, ada juga barong di beberapa kawasan dapat beroperasi walaupun jumlah petugasnya tidak ramai,” katanya.

Tinjauan NSTP di beberapa pusat mengundi mendapati barong PKR bukan saja terpencil malah ada kosong, berbanding barong semakan pemilih BN dan PAS yang meriah dengan petugas.

Beliau ditemui selepas selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Budiman II di sini jam 9.35 pagi tadi.

Dalam pada itu, Raja Kamarul Bahrin berkata, semangat pemilih keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hari ini terutama di kawasan Parlimen Kuala Terengganu disifatkan luar biasa.

Beliau yang juga calon Parlimen Kuala Terengganu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk mengakui terkejut melihat jumlah pemilih yang keluar mengundi pagi ini.

“Alhamdulillah, nampaknya walaupun hari mengundi dibuat pada Rabu, peratusan keluar mengundi pagi ini agak tinggi dan saya sendiri terpaksa beratur selama sejam sebelum tiba giliran mengundi.

“Agak terkejut juga melihat ramai yang keluar mengundi di sebelah pagi dan ia jauh berbeza pada PRU lalu apabila saya hanya menunggu sekejap saja sebelum tiba giliran mengundi.

“Ini menunjukkan semangat pengundi kita untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara dalam memilih parti yang akan membentuk kerajaan semakin baik,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!