Malaysia Bebas Jerebu Tahun Ini, Namun Berisiko Dilanda Banjir

SUBANG – Penduduk di kawasan rendah perlu lebih bersedia berikutan hujan lebat yang tidak menentu sekarang termasuk kemungkinan berlaku fenomena La Nina yang boleh membawa banjir tahun ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) baru-baru ini, taburan hujan pada tahun ini menunjukkan corak tidak sekata serta tidak menentu hingga menyaksikan ada kalanya hujan lebat berlaku.

“Setiap hari berlaku hujan dan ini membimbangkan, takut hujan terlalu lebat sehingga menyebabkan banjir. Seperti kita sedia maklum, El Nino tidak kuat tahun ini, takut sebaliknya berlaku La Nina pula,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Pelan Pengurusan Penghapusan (HPMP) Hidroklorofluorokarbon (HCFCs) peringkat kedua di sini, pada Isnin.

Laporan MetMalaysia menunjukkan fenomena El Nino yang membawa kepanasan melampau tidak akan berlaku tahun ini, justeru Malaysia dijangka bebas daripada jerebu rentas sempadan.

MetMalaysia juga melaporkan bahawa tiada perkara (cuaca) luar biasa akan berlaku sebagaimana pada 2014 dan 2015, yang dilihat antara pendorong berlakunya jerebu.

Sementara itu, Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan 35 peratus penggunaan bahan kimia HCFCs menjelang 2020 sebagai usaha untuk memulihkan masalah penipisan lapisan ozon berbanding 10 peratus pada 2015.

Wan Junaidi berkata HPMP peringkat kedua itu akan memberi fokus kepada pertukaran teknologi yang menggunakan alternatif bukan HCFCs dalam sektor pembuatan busa serta larangan penggunaan HCFCs dalam pembuatan dan pemasangan sistem pemadam api.

Menurutnya penghapusan HCFCs memberi peluang kepada industri di Malaysia bertukar kepada teknologi baru yang mesra ozon dan mesra iklim bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga sekali gus meningkatkan perkembangan ekonomi hijau.

Pelaksanaan pelan itu di bawah kelolaan Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

HCFCs adalah bahan pemusnah ozon (BPO) yang dikawal di bawah perjanjian antarabangsa Protokol Montreal mengenai bahan yang menipiskan lapisan ozon.

Ia banyak digunakan sebagai bahan penyejuk dalam peralatan seperti peti sejuk, penyaman udara, pembuatan busa dan bahan pencuci. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.