Kerajaan Benarkan Harimau Malaya Ke Pyongyang

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak melarang skuad bola sepak negara untuk beraksi di Pyongyang pada 8 Jun ini bagi aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, pihaknya akur dengan keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mengekalkan venue asal walaupun sebelum ini pernah didesak Malaysia untuk mengadakan perlawanan tersebut di gelanggang berkecuali, lapor Utusan.

Katanya, kerajaan bersetuju untuk membenarkan skuad negara beraksi di sana memandangkan Korea Utara telah memberi jaminan keselamatan kepada Malaysia.

“Kita tidak ada apa-apa larangan untuk skuad negara terbang ke sana (Pyongyang). Cuma kita harap pihak Korea Utara boleh memberi jaminan keselamatan terhadap pasukan negara kita.

“Ini kerana ketegangan (diplomatik) yang wujud bukan hanya antara Malaysia dan Korea Utara sahaja yang mana saya rasa telah diselesaikan tetapi Korea Utara juga menghadapi pelbagai isu membabitkan dunia luar.

“Jadi kita harap pasukan kita akan selamat dan dapat melangsungkan perlawanan mereka seterusnya kembali ke Malaysia dengan selamat.

“Pada saya jaminan itu penting sebab apabila AFC sudah membuat keputusan, kita perlu akur dengannya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.