1MDB: Lantik Segera Firma Audit Antarabangsa – Hishamuddin

Kuala Lumpur – Datuk Seri Hishammuddin Hussein mahu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) segera melantik sebuah firma audit antarabangsa untuk menyiasat segala persoalan pengurusan dan aliran kewangan syarikat itu yang menanggung beban hutang RM42 bilion.

 

Beliau berkata syarikat audit berkenaan harus di beri mandat penuh “untuk memeriksa, memberi verifikasi dan mendedahkan kepada umum nilai semua aset, liabiliti syarikat serta status portfolio pelaburan dan kedudukan aliran tunai”.

 

Hishammuddin mencadangkan, lembaga pengarah 1MDB perlu melantik firma audit antarabangsa itu tanpa menunggu hasil laporan Ketua Audit Negara supaya segala pra-sangka terhadap syarikat pelaburan yang ditubuhkan kerajaan itu dapat di tangani dengan berkesan.

 

“Saya yakin hasil audit bebas ini berserta siasatan Ketua Audit Negara akan dapat membantu 1MDB meyakinkan rakyat tentang status kewangan syarikat pelaburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau juga menggesa supaya isu pembelian tanah bernilai RM188.5 juta oleh Lembaga Tabung Haji (TH) ditangani segera bagi mengelakkan tanggapan negatif masyarakat.

 

“Kita perlu segera memadam persepsi negatif dan syak wasangka di pasaran dan pandangan masyarakat penjualan hartanah 1MDB ini merupakan simptom beban kewangan yang dihadapi syarikat pelaburan tersebut.

 

“Justeru, kita seharusnya mempercepatkan proses untuk mengetahui kedudukan kewangan sebenar 1MDB,” kata naib presiden Umno itu.

 

Hishammuddin yakin keputusan TH membeli tanah di Tun Razak Exchange (TRX) itu sudah mengambil kira risiko perniagaan dan kepentingan pencarum namun menegaskan “integriti dan nilai pelaburan pencarum perlu dilindungi dan ini seharusnya menjadi prioriti kerajaan,” katanya.

 

Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan ia akan menjual tanah yng dibeli daripada 1MDB dalam tempoh beberapa minggu dan menjangka memperolehi keuntungan RM5 juta daripada transaksi itu.

 

TH menegaskan keputusan membeli tanah itu adalah tindakan komersil yang dijangka membawa keuntungan pada kadar sembilan peratus setahun.

 

Namun TH akhirnya memutuskan untuk menjual tanah berkenaan setelah mengambil kira sentimen pencarum, kata pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.