UPP Kuala Perlis Tahan 101 PATI Myanmar

KANGAR – Seramai 101 pendatang tanpa izin (PATI) dipercayai pelarian Rohingya Islam Myanmar ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Perlis semasa mendarat di pantai Kurung Tengar di Kuala Perlis, dekat sini tengah malam tadi.

Timbalan Komander (II) UPP Perlis, Rosli Issak berkata, pelarian Rohingya itu terdiri daripada 41 wanita iaitu 29 dewasa dan 12 kanak-kanak serta 60 lelaki iaitu 27 dewasa dan 33 kanak-kanak berumur antara setahun dan 40 tahun.

“Mereka datang dengan sebuah bot dan ditahan dalam keadaan lemah akibat kesejukan, kelaparan dan ada antara mereka tidak berpakaian sebaik mendarat di pantai,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Kuala Perlis, hari ini.

Menurut Rosli, kejayaan itu dicapai hasil maklumat orang ramai yang memberitahu UPP apabila terlihat sebuah bot yang mencurigakan pada kedudukan 100 meter, sedang menghampiri pantai pukul 12.30 tengah malam tadi.

Siasatan awal mendapati semua PATI terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan surat kebenaran sah untuk memasuki negara ini dan mereka dipercayai datang ke sini untuk mencari perlindungan dan pekerjaan, katanya.

Rosli berkata, tekong bot yang membawa PATI berkenaan bagaimanapun sempat melarikan diri dan siasatan sedang dijalankan.

Beliau menambah tangkapan itu adalah yang pertama oleh UPP Kuala Perlis terhadap PATI yang memasuki negara ini melalui jalan laut.

Kes itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. – Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.