Ugut Pekerja TNB Kena Denda RM500 Penjara 5 Hari

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipenjara lima hari dan didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengugut pemeriksa meter Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sedang bertugas.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan memerintahkan R. James menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangka pada 4 Mei lalu.

Beliau juga memerintahkan supaya James dipenjara tiga minggu jika gagal membayar denda itu.

Dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Mohd Rafizi Mohd Razali dengan cara mengugut mahu menyerangnya dengan tujuan untuk menakutkannya di Tingkat 12, Blok 28, Taman Sri Murni, Sentul pada 11.20 pagi, 4 Mei lalu.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling, tertuduh cuba menyerang mangsa dengan menggunakan kapak ketika Mohd Rafizi hendak mencabut sambungan meter haram yang dipasang di kediamannya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.