Tanding Di Bukit Gelugor, Ahli PAS Mahu Pulau Pinang Laksana Hudud

Shah Alam – Langkah ahli PAS, Mohamed Nabi Bux Mohamed Abd. Sattar mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor menunjukkan parti itu melanggari persefahaman tentang pembahagian kerusi antara parti dalam Pakatan Rakyat (PR).

Sebelum ini, apabila timbul cadangan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu disyor bertanding di kawasan itu, Ahli Parlimen Puchong daripada DAP, Gobind Singh Deo menolak cadangan itu dengan memberi amaran kepada PAS bahawa Bukit Gelugor adalah kerusi tradisi DAP.

Bagaimanapun, Mohamed Nabi, 63, yang merupakan ahli PAS Selangor hari ini tetap mengumumkan pencalonannya selepas mengisi dokumen calon di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Bukit Gelugor.

Dengan ditemani oleh para penyokongnya, Mohamed Nabi berkata, jika memenangi kerusi berkenaan, beliau akan memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud di Pulau Pinang menjelang 2020.

“Saya mempunyai impian bahawa Pulau Pinang akan menjadi negeri hudud menjelang 2020… satu undi untuk saya adalah undi untuk hudud,” katanya kepada pemberita di luar pejabat SPR di Weld Quay Georgetown.

PRK Parlimen Bukit Gelugor bakal menyaksikan sekurang-kurangnya pertandingan lima penjuru melibatkan Mohamed Nabi, calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, calon PR daripada DAP, calon bebas Mohd Yacoob Mohd Noor, 25, dan calon Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan yang mengumumkan bertanding hari ini.

Hari penamaan calon ialah Isnin ini manakala hari mengundi ialah 25 Mei ini.

Seramai 81,000 pemilih akan mengundi pada pilihan raya itu yang diadakan untuk melantik wakil rakyat bagi menggantikan Ahli Parlimen DAP, Karpal Singh yang maut dalam nahas jalan raya, 17 April lalu.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, berkata, beliau tidak tahu menahu bahawa Mohamed Nabi adalah ahli PAS.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

One thought on “Tanding Di Bukit Gelugor, Ahli PAS Mahu Pulau Pinang Laksana Hudud

  • May 10, 2014 at 1:51 am
    Permalink

    macam-macam gelagat manusia dalam berpolitik…kadang-kadang sukar untuk kita menilai tujuan mereka berpolitik…sekadar mencari nama atau benar-benar berjuang untuk membina negara dan rakyat…tengok wajah-wajah yang menjadi calon pun memeningkan kepala…tindakan mereka kadang-kadang bolih menambah kemelut politik semasa…olih itu perlu pilih calon yang rajin buat kerja bukan yang pandai menipu.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.