Roboh Rumah Agam Berusia 150 Tahun Pemilik Dihadap Ke Mahkamah

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor mengeluarkan satu writ kepada pemilik tanah yang merobohkan rumah agam Wong Ah Fook yang berusia 150 tahun di sini tanpa kebenaran.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Abd Latiff Bandi berkata, pemilik tanah itu akan dibawa ke mahkamah di atas tindakan tersebut.

Beliau berkata, tiada permit dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi memberi kebenaran untuk merobohkan bangunan itu walaupun ia milik persendirian dan di tapak persendirian.

“Apa yang dah berlaku sudah pun berlaku dan tidak perlu berasa sedih kerana tidak ada yang boleh diubah tetapi kita berharap tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemilik sebagai pengajaran kepada pemilik harta yang lain,” katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Rumah agam yang berusia 150 tahun itu, pernah dimiliki oleh dermawan dan kontraktor terkenal Wong Ah Fook, telah dirobohkan pada 30 April lalu.

Wong merupakan watak ikonik yang dikaitkan dengan sejarah Johor Bahru dan jalan raya utama di sini yang dinamakan sempena nama beliau.

Beliau telah membina beberapa bangunan warisan paling terkenal di Johor termasuk Istana Besar, Balai Zaharah, kediaman Menteri Besar pertama, Datuk Jaafar Mohamed di Bukit Senyum dan penjara Johor Bahru di Jalan Ayer Molek.

Wong dilahirkan pada 1837 dan meninggal dunia pada 1918 ketika usianya 81 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.