Pemilihan PKR: Mohd. Ramlee Yakin Kalahkan Rafizi

KUALA TERENGGANU 8 Mei – Calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kemaman, Mohd. Ramlee Hamzah yakin mampu menewaskan penyandang yang juga Pengarah Strategi parti itu, Rafizi Ramli dalam sesi pemilihan semula yang dijadualkan pada 17 Mei ini.

Mohd. Ramlee yang pernah memangku jawatan itu pada 2007 hingga 2009 lalu mendakwa, sokongan terhadapnya kini lebih meluas kerana kebanyakan ahli semakin mengenali siapa Rafizi, hubungannya dengan mereka dan setakat mana peranannya di cabang.

“Saya sebenarnya tak kisah siapa pun dipilih sebagai pemimpin tapi biarlah proses itu dilakukan secara adil oleh akar umbi.

“Saya ambil keputusan untuk menentang dia atas dua sebab iaitu sebab peribadi dan kepentingan parti kerana saya lihat dia (Rafizi) lebih banyak menghabiskan masanya di luar Kemaman dan juga tidak dekat dengan Majlis Pimpinan Negeri.

“Saya tahu dia ada nama besar dan bakal bertanding Naib Presiden tapi saya yakin kemenangan akan berpihak kepada saya dan matlamat saya bukan bermusuh tetapi hanya untuk menjaga parti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pemilihan PKR Cabang Kemaman yang sepatutnya selesai 26 April lalu berlangsung dalam suasana agak kecoh yang memaksa Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR menangguhkan kepada satu tarikh baharu kelak.

Selain Kemaman, tiga lagi cabang di negeri ini iaitu Kuala Nerus, Setiu dan Dungun akan diadakan pada tarikh yang sama.

Pemilihan bagi Cabang Setiu dan Kuala Nerus difahamkan tidak dapat dijalankan pada 26 April lalu ekoran pertikaian soal pusat pemilihan yang dikatakan tidak sesuai dan dianggap lebih memihak kepada calon tertentu yang bertanding.

Menurut jurucakap PKR negeri, pada awalnya lokasi pemilihan dan proses pengundian bagi Kuala Nerus ditetapkan di sebuah calet inap desa di Pulau Duyong manakala bagi Setiu, sebuah rumah kedai yang dikatakan tidak menepati syarat dan bukan di kawasan berkecuali.

Di Dungun, pemilihan semula hanya akan dilakukan bagi menentukan ahli jawatankuasa cabang ekoran masalah kesilapan nombor pendaftaran bagi calon-calon.

Dalam pemilihan kepemimpinan cabang itu, Abdul Rahman Yusof yang bertanding mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang tewas kepada Nik Man Awang manakala Mohd. Padli Jusoh mengatasi dua pencabarnya, Mohd. Rosdi Baba dan Rizan Ali bagi jawatan Timbalan Ketua.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.