Pemilihan PKR : Ada Minta Saifuddin Undur Tanding Timbalan Presiden

Shah Alam – Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyedari terdapat pendapat yang mencadangkan agar beliau menarik diri untuk memberi laluan kepada pertembungan antara Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi jawatan timbalan presiden PKR.

Saifuddin yang menduduki tempat tercorot dalam saingan jawatan itu bagaimanapun berkata, setiap calon termasuk dirinya memiliki agenda tersendiri untuk meneruskan pertandingan.

“Saya percaya setiap calon mempunyai kelebihan dan agenda yang baik yang telah dibentangkan kepada anggota parti, justeru sebaiknya kita menghormati pesta demokrasi di dalam parti ini.

“Selamat maju jaya dan semoga semangat reformasi dan demokrasi terus subur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Persaingan jawatan kedua dalam PKR itu semakin sengit pada musim pemilihan minggu terakhir dengan Azmin mendahului saingan jauh meninggalkan Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor dan diikuti Saifuddin.

Keputusan terkini sehingga 4 Mei lalu menunjukkan Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berada di zon selesa selepas memperoleh 9,876 undi mendahului Abdul Khalid Ibrahim yang mendapat 6,217 undi manakala Saifuddin mencatat 5,717 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.