Mayat Lelaki Dijumpai Terapung di George Town

GEORGE TOWN – Satu mayat lelaki daripada paras pinggang ke betis dijumpai terapung di Pantai Ocean View, Bandar Sri Pinang, di sini malam tadi.

Mayat lelaki berseluar jeans yang mengandungi kad pengenalan S. Moneymaran, 50, beralamat di 13-1B Blok 4E Jalan Semarak Api 1, Bandar Baru Ayer Itam itu ditemui sekumpulan pemancing yang kemudian menariknya ke daratan kira-kira pukul lapan malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mayat itu dipercayai terendam di dalam air laut lebih seminggu berikutan keadaannya yang telah mereput hingga tinggal tulang di beberapa bahagian.

“Mayat lelaki itu telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan polis akan mengesan warisnya untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, buat masa ini kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

Beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga dengan identiti sedemikian hadir ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan. – Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.