MAHB Sediakan Khidmat Bas Percuma Antara KLIA2, LCCT

KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) menyediakan perkhidmatan bas percuma antara Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan Terminal Penerbangan Kos Rendah (LCCT) serta Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam satu kenyataan hari ini, pengendali lapangan terbang itu berkata,

perkhidmatan bas itu diadakan setiap 15 hingga 20 minit dari 1 Mei hingga 15 Mei ini.

“Bas terbabit boleh dinaiki di lokasi sama untuk perkhidmatan bas di LCCT dan di hab pengangkutan KLIA2 di tingkat 1,” katanya.

Tambah MAHB lagi, semua pengangkutan awam ke LCCT dan KLIA akan beroperasi seperti biasa sehingga 9 Mei ini.

Menurutnya, perpindahan syarikat penerbangan AirAsia ke KLIA2 sejak semalam menyebabkan peningkatan besar jumlah penumpang dan pergerakan penerbangan di lapangan terbang baharu itu.

MAHB akan terus bekerjasama rapat dengan semua syarikat penerbangan, terutama AirAsia bagi mengatasi sebarang masalah yang timbul.

Kini KLIA2 menempatkan AirAsia, AirAsia X, Indonesia AirAsia, Thai AirAsia,

AirAsia Zest, Malindo Airways, Lion Air, Tiger Airways dan Cebu Pacific Airways. – Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.