Kritikan Buat Daren Bersemangat

 

PEMAIN perseorangan negara, Liew Daren enggan memikirkan mengenai kritikan yang dilemparkan kepadanya berhubung pelantikan beliau sebagai kapten pasukan skuad Piala Thomas yang akan berlangsung di New Delhi, India bermula 18 Mei ini.

Daren yang dihubungi berkata, beliau tidak mahu ambil pusing dengan pandangan itu kerana baginya, kepercayaan daripada pasukan lebih penting berbanding pengkritik.

“Saya dipilih oleh barisan pemain, ini maknanya mereka mempercayai saya. Apa yang pihak luar (pengkritik) ingin katakan, terpulanglah. Itu hak mereka.

“Saya percaya, jika kita ikhlas dalam tugas yang diamanahkan, semuanya akan berjalan dengan baik.

“Sekarang, saya perlu maju ke depan dan melaksanakan kepercayaan ini sebaik mungkin,” katanya.

Kelmarin, pemilihan Daren selaku kapten dikritik oleh bekas pemain kebangsaan, Razif Sidek yang menganggap BAM membuat kesilapan besar kerana memilih pemain berkenaan.

Ini kerana bagi Razif, kapten perlulah seseorang yang dihormati, berkredibiliti sebagai pemain, mampu mengawal keadaan dalam pasukan dan menyatupadukan pemain selain berdasarkan senioriti.

Menjawab persepsi Razif kepada dirinya, Daren berkata, beliau tidak terasa mahupun berkecil hati dengan pandangan bekas pemain itu, sebaliknya sudah lali dengan apa yang dilemparkan kepadanya sebelum ini.

Bagaimanapun Daren berkata, kritikan itu sama sekali tidak akan membunuh semangatnya, sebaliknya berazam untuk menjalankan tugas dengan sebaik mungkin untuk pasukan dan posisinya sebagai perseorangan ketiga.

“Pelantikan ini merupakan penghormatan daripada Chong Wei dalam memberi galakkan kepada saya. Jadi, tiada sebab untuk saya tidak sahut cabaran ini.

“Malah saya kini berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk berdepan apa jua cabaran,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.