Jari Hampir Putus Ditetak Rakan Sendiri

BACHOK – Seorang tukang rumah hampir putus dua jari dan cedera di kaki kanan akibat ditetak dengan pedang oleh kenalannya sendiri dalam kejadian di Kampung Changgong, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa yang berusia 36 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pasar Lama Bachok sebelum dihubungi suspek yang ingin menemuinya.

“Tiba di lokasi, suspek sudah menunggu di tepi jalan dan menetak mangsa yang tidak sempat turun motosikal.

“Akibatnya, jari telunjuk dan jari hantu sebelah kanan mangsa hampir putus, selain luka di bahagian kaki sebelah kanan. Mangsa kemudiannya berlari mendapatkan pertolongan sebelum dibawa penduduk ke Klinik Kesihatan Bachok,” katanya.

Abdul Hamid berkata, mangsa kini mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Menurutnya, laporan polis dibuat kakak mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, jam 2 petang hari yang sama.

“Polis giat memburu suspek dan kejadian disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.

“Punca sebenar kejadian tersebut masih belum didedahkan mangsa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.