Jangan Layan Mansuh Identiti Kaum – Perkasa

SHAH ALAM 8 Mei – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor meminta kerajaan supaya tidak lagi membangkitkan apa jua perbincangan atau cadangan yang bersifat memansuhkan identiti mana-mana kaum dalam borang rasmi kerajaan.

Yang Dipertuanya, Abu Bakar Yahya berkata, cadangan atau perbincangan mengenai pemansuhan itu sebenarnya tidak diperlukan kerana Malaysia merupakan sebuah negara dengan kepelbagaian kaum dan etnik.

Tegas beliau, alasan memansuhkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan kononnya satu usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat dilihat tidak tepat sama sekali memandangkan negara sejak mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lalu, perpaduan rakyat daripada pelbagai kaum terbukti telah terjalin dengan cukup baik.

“Apabila bercakap soal perpaduan rakyat pelbagai kaum, apakah perkara itu terletak pada ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan? Jika ini yang diambil kira, kita fikirkan sebagai satu perkara yang tidak ada kena-mengena langsung.

“Sebaliknya, kita melihat perpaduan rakyat pelbagai kaum yang terbina sejak sekian lama di negara ini adalah atas dasar serta prinsip toleransi, hormat-menghormati antara satu sama lain termasuk amalan penggunaan bahasa Melayu yang mana bahasa itu sendiri merupakan bahasa perpaduan.

“Yang menjadi masalah dan memberi ancaman kepada perpaduan di negara ini disebabkan ada pihak-pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan rakyat pelbagai kaum dengan mencabar kedudukan Perlembagaan Persekutuan, agama dan hak kepentingan kaum-kaum tertentu,” katanya di sini hari ini.

Abu Bakar mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun semalam berhubung Jemaah Menteri memutuskan untuk menghapuskan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan kerana dianggap tidak memberi nilai tambah dalam usaha kerajaan memupuk perpaduan budaya pelbagai kaum di negara ini.

Antaranya borang permohonan kerja di Suruhanjaya Perkhid­matan Awam (SPA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), permohonan pasport dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

Pemansuhan tersebut bagaimanapun dinafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini apabila beliau menegaskan Kabinet tidak membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, kerajaan mengekalkan dasar yang sedia ada.

Dalam pada itu, Abu Bakar mahu kerajaan supaya lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu perbincangan melibatkan perpaduan kaum di negara ini pada masa depan agar tidak terperangkap dengan agenda pembangkang yang mahu menyamaratakan rakyat di negara ini sebagaimana DAP memperjuangkan agenda ‘Malaysian Malaysia’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.