Hudud: MIC gesa DAP Palang Pas

 

KUALA LUMPUR – MIC menggesa DAP supaya menghalang sekutu politiknya, Pas daripada membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian (Hukum Hudud) di Parlimen bulan depan.

Presidennya Datuk Seri G. Palanivel berkata, DAP perlu menunaikan janji  pilihan raya parti itu bahawa ia akan menentang hudud dan menghalangnya daripada dilaksanakan.

“DAP memperoleh undi daripada bukan Islam untuk Pas dalam dua pilihan raya umum lepas dengan memperdayakan mereka (bukan Islam)untuk percaya bahawa Pas tidak akan melaksanakan hudud,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknologi Hijau dan Alam Sekitar parti itu di Ibu Pejabat MIC di sini hari ini.

Pada masa sama, MIC membuat pendirian tegas untuk tidak menyokong rang undang-undang yang akan dibentangkan Pas itu, menyatakan ia akan merenggangkan hubungan rakyat berbilang kaum Malaysia.

“MIC menghormati Islam dan mengiktiraf ia sebagai agama rasmi persekutuan. (Bagaimanapun) Dua sistem perundangan berbeza akan akhirnya menimbulkan konflik terhadap bidang kuasa dan hukuman.

“Ini kerana rang undang-undang hudud tidak selaras dengan semangat sebenar Perlembagaan Persekutuan kita,” kata Palanivel.

Kerajaan Pas Kelantan, menerusi anggota Parlimennya, bercadang membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian (Hukum Hudud) di Dewan Rakyat untuk mendapatkan kelulusan bagi melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 pada Disember.

Dalam perkembangan lain, Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata beliau akan membincangkan beberapa isu dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berhubung kitar semula sampah untuk menghasilkanproduk kitar semula. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.