Gerakan PP Sokong Siew Keong Calon Teluk Intan

GEORGETOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang hari ini menyokong supaya Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dipilih sebagai calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.

Pegerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata, Jawatankuasa Perhubungan Gerakan menyokong penuh Siew Keong dicalonkan kerana pengalaman beliau yang pernah berkhidmat di kawasan berkenaan selama dua penggal.

“Mah adalah calon yang paling layak untuk dipilih di Teluk Intan dan kami menyokong penuh pencalonan beliau,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, Gerakan Pulau Pinang akan menubuhkan satu pasukan khas dengan seramai 80 petugas untuk membantu jentera pilihan raya di Teluk Intan.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada DAP, Seah LeongPeng, akibat kanser, 1 Mei lepas dan SPR menetapkan 19 Mei sebagai hari penamaan calon manakala 31 Mei hari pengundian.

Bagaimanapun Chang Yeow berkata, beliau akan menghormati keputusan calon yang akan ditentukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengenai PRK Parlimen Bukit Gelugor, Chang Yeow yang juga Pengerusi Barisan Nasional negeri, berkata beliau akan bermesyuaratdengan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun hari ini.

“Gerakan akan menyokong penuh calon Barisan Nasional di Bukit Gelugor tetapi keputusan calon terpulang kepada MCA dan saya masih menunggu maklum balas daripada mereka,” katanya.

Terdahulu, Mei Fun dalam sidang media berasingan berkata sebagai sebuah parti politik, MCA sentiasa bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.

Mengulas laporan akhbar Cina mengenai BN tidak akan bertanding di PRK Bukit Gelugor, Mei Fun berkata itu hanya spekulasi.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya bersabar dan pihaknya akan membuat pengumuman apabila tiba masanya.

Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP, akibat nahas jalan raya dan SPR menetapkan 12 Mei sebagai hari pencalonan manakala 25 Mei hari mengundi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.