Dollah Salleh Naik Angin Dengan Persatuan Bola Sepak Maldives

JURULATIH skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dollah Salleh mengakui kecewa dengan sikap kurang profesional Persatuan Bola Sepak Maldives (MFA) yang masih enggan melepaskan penyerang, Ali Ashfaq menyertai skuad kendaliannya.

Menjelang pertembungan menentang Sabah malam ini, kelibat Ali masih tidak kelihatan bersama skuad Sang Saka Biru apabila pemain berusia 29 tahun masih dengan tugasan bersama skuad kebangsaannya.

Jika mengikut perjanjian awal bersama MFA, mereka dikatakan telah bersetuju untuk melepaskan Ali pada 9 Mei.

Bagaimanapun, kelibat Ali masih tidak kelihatan bersama PRDM lagi pun pihaknya telah mengemukakan permohonan untuk memanggil kembali khidmat pemain kelahiran Male itu.

“Apa yang mereka jawab, ‘Maaf, kami masih tidak boleh lepaskan lagi. Ali masih bersama skuad kebangsaan Maldives’.

“Benar, berdasarkan undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), memang Ali dibenarkan atau lebih tepat, kena mengutamakan skuad kebangsaan.

“Namun, bila mengambil masa sampai sebulan setengah, ia bagai seperti melebihi jangkaan PDRM untuk menagih kembali khidmat Ali bersama pasukan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ali dipercayai memperkuatkan skuad kebangsaan yang dikenali dengan nama jolokan ‘Red Snappers’ untuk aksi Piala Cabaran AFC 2014 yang mana Maldives menjadi tuan rumah untuk kejohanan yang akan berlangsung pada 19 sehingga 30 Mei itu.

Begitupun, Dollah enggan menjadikan ketiadaan peledak berbisa itu sebagai satu alasan ketika berkunjung ke Stadium Likas, Kota Kinabalu hari ini.

“Buat masa ini, saya mahu menumpukan aksi menentang Sabah. Mengenai ketiadaan Ali, saya tidak fikir ia menjadi satu masalah.

“Saya masih ada Bobby Gonzales yang boleh mengisi ketiadaan Ali.

“Saya mengesa pemain-pemain saya agar tidak memandang rendah terhadap keupayaan Sabah kerana mereka antara salah satu pasukan cukup berkualiti dalam kancah Liga Premier,” katanya.

PDRM kini muncul sebagai pendahulu Liga Premier dengan kelebihan 38 mata selepas mengharungi 14 perlawanan setakat ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.