Abdullah Zaik: Pihak Lapor Polis Hipokrit

BANGI – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman mengesahkan beliau telah memberi keterangan kepada pihak polis berhubung dua laporan polis terhadapnya di pejabatnya, di sini, semalam.

Katanya, laporan polis itu dibuat berhubung kenyataannya baru-baru ini berhubung ‘kedatangan pendatang Cina bersama penjajah British satu bentuk pencerobohan’.

“Saya sahkan pihak polis telah menjalankan siasatan berhubung laporan polis yang dibuat terhadap saya, semalam.

“Keterangan lebih dua jam itu diambil pihak polis di pejabat saya,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Isma, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Rabu lalu yang mengesahkan bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan terhadapnya susulan kenyataan tersebut di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Siasatan itu dibuat selepas Ketua Biro Undang-Undang MCA, Eric Choo bersama lima ahli yang lain membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada Rabu.

Turut membuat laporan polis ialah DAP yang diwakili Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng serta Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook di balai polis dan hari yang sama.

Malah Isma juga menerima tamparan hebat apabila Pengarah Strategi MIC, S Vell Paari yang mengumpamakan kenyataan NGO itu sebagai penyakit kelamin dan menyifatkan sebagai badut yang tidak menghiburkan.

Mengulas lanjut, Abdullah Zaik mendakwa laporan polis itu dilihat sebagai cubaan untuk menghalang Isma daripada menyatakan pendirian terhadap kepentingan orang Islam dan Melayu.

“Laporan polis itu cubaan menghalang kita dengan menakut-nakutkan kerana mereka sendiri pun menentang Akta Hasutan,” katanya.

Abdullah Zaik turut menyifatkan bantahan ahli politik bukan Islam itu sebagai ‘hipokrit’ dan tidak bermaruah.

“Mereka yang membuat laporan polis itu sebenarnya orang yang sama menentang akta itu, masa dia hendak maki orang, dia minta Akta Hasutan dibubarkan supaya senang mereka maki sesiapa sahaja.

“Bila dia kena kritik, dia buat laporan polis, rujuk pula kepada Akta Hasutan, tak malu kah dia? Tindakan mereka itu terlalu hipokrit,” dakwanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.