Ustaz lawat rumah ibadat bukan Islam bawa lebih banyak mudarat berbanding manfaat – Mokhtar Senik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat Mokhtar Senik dalam teguran secara beralas membidas tindakan “ustaz” yang berkunjung ke rumah ibadat orang bukan Islam atas alasan mahu menunjukkan betapa toleransinya agama.

Mokhtar berkata sepatutnya isu sebegitu tidak timbul kerana seseorang ustaz sepatutnya tahu berkenaan isu tersebut dan tidak tersalah langkah.

“Ustaz tak jumpa ke ayat-ayat Quran yang boleh jadi dalil bahawa Islam ini agama toleransi dan adil? Tak payah la gi (pergi) kuil ke, gereja ke, untuk buktikan Islam agama toleransi.

“Tafsir, usul fiqh dan qawaeidul fiqh ngaji (belajar) belaka. Tinggal lagi nak amal bila tu?

“Jangan layan semangat playsafe tak tentu hala begitu. Hayatilah surah al-Kafirun,” tulisnya di media sosial lapor Malaysiakini pada Rabu.

Meskipun tidak menyebut secara jelas, kenyataan Mokhtar itu hadir ketika sesetengah pihak mempersoalkan kewajaran Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat Nushi Mahfodz, melawat sebuah kuil Hindu di Semenyih, Selangor pada 6 April lalu.

Nushi yang juga Adun Semenyih memuat naik gambar lawatannya ke Kuil Arulmigu Dewi Sri Karumariamman Alayam atas alasan mahu menyantuni penganut Hindu di kawasan tersebut.

Kata Nushi, sebahagian besar masa lawatannya dihabiskan untuk berdialog dan mendengar sendiri harapan penganut Hindu terbabit serta perancangan pihak kuil untuk komuniti setempat.

“Ia ruang yang amat penting untuk membina kefahaman dua hala, jauh daripada prejudis atau tanggapan luar,” katanya.

Menurut Mokhtar, langkah seorang ustaz melawat rumah ibadat bukan Islam membawa mudarat yang lebih banyak berbanding manfaat kepada agama.

“Mudaratnya kepada jamaah. Kalau pun ada manfaat itu hanya untuk ustaz je,” katanya yang baru-baru ini memperoleh gelaran doktor falsafah dari sebuah universiti di Riau, Indonesia.

Untuk rekod lawatan dibuat Nushi itu turut dibela oleh seorang pemimpin kanan DAP, Syahredzan Johan.

Kata Ahli Parlimen Bangi itu, langkah diambil Nushi memang sebahagian daripada tanggungjawab asas seorang wakil rakyat yang perlu mewakili semua kaum dan agama bagi kawasan yang diwakilinya.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, turut mempertahankan Nushi kerana ia bersifat kunjungan muhibah dan tidak melibatkan sebarang ritual keagamaan.

Sementara itu, Nushi dalam hantaran di Facebooknya hari ini mempertahankan tindakannya berkunjung ke kuil Hindu sebagai “satu hikmah”.

Katanya, dalam suasana masyarakat yang majmuk di negara ini, ada ketikanya langkah diambil atas dasar hormat dan perpaduan boleh disalah erti.

“Kehadiran saya ke kuil (di atas tanah RIB – rumah ibadat bukan Islam) baru-baru ini, walaupun tidak melibatkan sebarang ritual keagamaan, tetap menimbulkan kekeliruan sesetengah pihak.

“Namun di situlah saya melihat satu hikmah, ia membuka ruang untuk kita perjelaskan kembali batas-batas yang Islam tetapkan: bahawa kita boleh menghormati tanpa menggadai akidah, dan boleh meraikan kepelbagaian tanpa menjadi apologetik,” tulisnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat