KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan beliau tidak akan bergaduh jika tiada isu sensitif membabitkan agama, bangsa dan institusi diraja (3R) diusik oleh mana-mana pihak.
Itu sebagai reaksi kepada nasihat yang disampaikan oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Akmal supaya bertenang dan tidak bergaduh dengan sesiapa dalam tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Ayer Kuning.
Akmal yang terkenal lantang dalam menyuarakan pendiriannya walaupun terhadap rakan dalam komponen Kerajaan Perpaduan, menegaskan beliau dan Pemuda akan tetap bersuara jika isu sensitif disentuh walaupun boleh membawa kepada pergaduhan.
“Saya pun nak ingatkan kepada semua, kalau tak nak saya bergaduh, maka jangan usik perkara sensitif, sama ada daripada parti kerajaan mahu pun pembangkang.
“Sudah tentu saya akan bersuara. Siapa pun yang sentuh, kami akan tetap bersuara,” katanya memetik BH pada Rabu,
Sebelum itu Zahid menasihatkan Akmal supaya mengelak daripada sebarang pergaduhan sehingga selesai PRK DUN Ayer Kuning pada 25 April nanti.
Secara berseloroh, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, berkata ia bagi memberi ruang kepada PRK berkenaan berjalan lancar dan tenang, selain parti dalam komponen itu dapat berganding bahu bagi memenangkan calon.