Johan Pernah Beri Bayangan Tak Hidup Lama

Mohd Syakir Iman, anak sulung kepada penggubah lagu Allahyarham Johan Nawawi hari ini mendedahkan bahawa bapanya pernah memberi petunjuk yang dirinya tidak akan hidup lama.

“Papa suruh belajar banyak-banyak daripada beliau supaya saya dapat mengambil alih perniagaan dengan sebaiknya dan juga menjadi ketua keluarga,” kata anak itu, lebih mesra dengan panggilan Iman.

Menurut Iman, 24, arwah bapanya sempat menyusun atur pelan induk bagi syarikat animasi bapanya itu, Hud Hud Media Sdn Bhd untuk diteruskan olehnya.

“Meskipun saya reda dengan pemergian papa, namun perasaan sedih masih dirasai setiap kali saya menjejakkan kaki di pejabat kerana kelibat papa sudah tiada,” katanya.

Johan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, kira-kira 6.30 pagi 24 Mac lalu.

Bercakap kepada Bernama, Iman berkata usaha bapanya menghasilkan kartun animasi berbentuk dakwah akan diteruskannya.

Katanya, beliau akan memenuhi hasrat bapanya supaya beliau meneruskan usaha itu yang dimulakan pada 2011.

Berkumpul di rumah

Semalam Hud Hud Media mengadakan majlis penghormatan, “Showcase Tribute to Allahyarham Johan Nawawi” di Pameran Gaya Hidup Antarabangsa Malaysia (MILE) 2017 di KLCC, Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, Iman berkongsi serba sedikit kisah hidup Allahyarham.

Menyentuh mengenai pengalamannya bekerja dengan bapanya, Iman berkata: “Saya sempat bekerja bersama papa sejak bulan Ogos tahun lepas dan beliau berkongsi banyak cerita dan pengalaman sehinggalah kepada sejarah hidup beliau.

“Beliau juga sempat berkongsi dengan saya pengalaman perniagaan walaupun bukan semua, tapi banyak yang dia sempat dikongsikan,” katanya.

Anak kedua Allahyarham, Muhd Syakir Alif, 18, yang turut sama dalam majlis penghormatan itu menyampaikan dua lagu berjudul Insan dan Insan Yang Mulia, ciptaan Allahyarham.

Allahyarham Johan turut mencipta lagu berunsurkan dakwah berjudul Erti al-Fatihah yang diadaptasi daripada surah al-Fatihah, dan dinyanyikan oleh anaknya Putri Nur Dahlia, 13.

Lagu itu telah dimuatkan dalam siri animasi Ummi – Ceritalah Pada Kami! terbitan Hud-Hud Media, selain lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan nasyid Raihan pada 1990-an.

Johan meninggalkan seorang balu, Nora Ariffin, 44, seorang penyanyi, dan empat cahaya mata Mohd Syakir Iman, Muhd Syakir Alif, Putri Nur Dahlia dan Putri Nur Fatehah, 4.

Menurut Iman, hari ini merupakan ulang tahun ke-25 perkahwinan Johan dan Nora.

“Saya dan adik-beradik hanya berkumpul di rumah sambil menemani ibu yang masih dalam iddah, itu sahaja,” kata Iman.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.