PM Kagum Lihat Kejayaan Usahawan India

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa bersama beberapa usahawan India di sebuah restoran di Taman Sri Muda, Shah Alam untuk mendengar kisah kejayaan mereka yang dibantu kerajaan melalui tabung TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

 

Beliau ditemani Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Khas Memperkasa Usahawan India (SEED), Datuk Dr A.T. Kumararajah, ketika berjumpa pemilik restoran tersebut, Restoran Mayuri, Ravi Rajagopal dan Lakshmi yang dahulunya hanya bermula sebagai penjual roti menggunakan motorsikal.

 

“Saya amat tertarik dengan kisah keusahawanan mereka yang terdiri daripada pelbagai latar perniagaan.

 

“Pemilik Restoran Sri Mayuri di tempat kami berjumpa, Puan Lakshmi dan suami, Encik Ravi Rajagopal dahulunya bermula dengan menjual roti dengan menggunakan motosikal. Perniagaan makanan dan minuman mereka dikembangkan kepada gerai makanan di Taman Sri Muda dan seterusnya restoran di Seksyen 33 Shah Alam,” kata Najib dalam blognya.

 

Pasangan ini kemudiannya membuka Restoran Sri Mayuri dan dikembangkan kepada lima cawangan di seluruh Lembah Klang.

 

Pemiliknya, Lakshmi turut berkongsi bahawa impiannya mungkin tidak akan menjadi realiti tanpa bantuan SEED dan TEKUN.

 

“Dalam tempoh tahun 2004 sehingga 2013, pasangan ini telah menerima sebanyak tiga pinjaman berjumlah lebih daripada RM 50,000 untuk mengubahsuai restoran dan menaiktaraf dapur,” petik kata dalam blog itu lagi.

 

Najib juga berkongsi kisah seorang lagi pesara dari Edaran Otomobil Nasional Berhad, Erdaya Rajoo, yang memperoleh sokongan SEED selepas mendengar mengenainya dari radio dan sahabat-sahabat beliau selain pinjaman RM40,000 daripada TEKUN untuk membeli lembu ternakan dan mengembangkan tanaman sireh sebagai perniagaan utama.

 

“Beliau kini memiliki ladang seluas lima ekar di Pajam, Negeri Sembilan. Saya diberitahu, beliau juga memiliki dan membiayai sebuah rumah kebajikan untuk anak-anak yang kurang bernasib baik di Kajang iaitu Pertubuhan Kebajikan Astana,” ujar Najib.

 

Selain itu, Najib akui tersentuh dengan kehadiran seorang usahawan kelainan upaya, Prakash yang menjalankan perniagaan latihan dan motivasi.

 

Membesar dalam serba kekurangan, ia tidak menghalang Prakash memiliki dua sarjana dan kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah dalam bidang Terminologi Perundangan.

 

“Semangat dan minat dalam bidang motivasi diteruskan dengan memohon dana sebanyak RM 5,000 dengan bantuan SEED Start Up Nation. Paling menarik, beliau sudah berjaya mendapatkan kontrak latihan bersama Syarikat Zurich. Beliau berhasrat untuk terus menjadi ikon kepada orang kelainan upaya yang lain untuk terus berjaya,” katanya.

 

Najib dalam blognya menambah, beliau amat tertarik dengan pelbagai kisah yang dikongsi dan berbesar hati apabila badan seperti SEED dan TEKUN yang diilhamkan oleh kerajaan menjadi penyumbang kepada kejayaan mereka.

 

Sehingga kini, kira-kira 24,000 usahawan India telah menerima bantuan pembangunan melalui SEED.

 

“Perubahan taraf hidup keluarga sebeginilah yang kita mahukan agar generasi ini akan menjadi bangsa yang berjaya dan kita dapat juga melihat kesinambungannya ke generasi yang seterusnya,” katanya yang turut menjamin kerajaan akan terus membantu menerusi pelbagai insentif dan dana yang telah disediakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.