Anak Mendiang Paul Walker Dapat Harta RM40 Juta

LOS ANGELES – Anak perempuan mendiang pelakon Paul Walker memperoleh AS$10.1 juta (RM40 juta) daripada pusaka peninggalan milik pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan dan mengorbankan kedua-dua mereka pada 2013, kata peguamnya.

 

Walker ialah penumpang kereta Porsche Carrera GT 2005 yang dipandu Roger Rodas apabila kenderaan itu, dipandu pada kelajuan 129 hingga 150 kilometer sejam, merempuh pokok dan tiang utiliti di Santa Clarita, barat laut Los Angeles.

 

Peguam Meadow Walker, 17, Jeff Milam, berkata dalam kenyataan penyelesaian itu akan disalurkan kepada dana remaja berkenaan.

 

Penyelesaian itu, yang dicapai pada November 2014, tidak diketahui hampir setahun setengah kerana ia difailkan menurut nama ‘Meadow W’, menurut laman web selebriti, TMZ, yang mula melaporkan berita berkenaan.

 

Menurut kenyataan Milam, Rodas tidak bertanggungjawab sepenuhnya di atas kemalangan itu, dan penyelesaian meliputi ‘sebahagian daripada apa yang diperoleh bapanya sebagai bintang filem antarabangsa jika hayatnya masih panjang.’

 

Kematian Walker pada usia 40 menimbulkan masalah kepada pembikinan ‘Fast & Furious 7’, siri terbaru filem aksi mengenai lumba haram yang melonjakkan kerjayanya.

 

Filem berkenaan memperoleh kutipan lebih AS$1.5 bilion (RM5.88 bilion) di seluruh dunia, menjadikan ia antara filem mencatat keuntungan paling tinggi sepanjang masa. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.