Video: ‘Hina Sangatkah Ustaz Macam Saya Ini?’

Shah Alam – DUN Selangor kecoh apabila seorang guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) berkeras mahu berjumpa Menteri Besar dan Exco negeri itu untuk menuntut janji kenaikan elaun yang berlarutan sejak tiga tahun lalu.

 

Ekhsan Bukharee Badarul Hisham berkata selama tiga tahun, kerajaan negeri Selangor mempermainkan perasaan guru-guru KAFA kononnya untuk menaikkan elaun mereka daripada RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.

 

 

Namun sehingga kini mereka masih menunggu walaupun menteri besar silih berganti.

 

“Sejak dari manifesto Pakatan Rakyat menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 lagi, janji-janji manis ini sentiasa didendangkan di telinga para ustaz dan ustazah di Selangor.

 

“Ya, kami tidak menafikan banyak penambahbaikan dibuat oleh kerajaan Selangor, semenjak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sehingga Mohamed Azmin Ali,” insan terus terabai sebegitu rupa,” katanya ketika ditemui media, semalam.

 

 

Walaupun dihalang berkali-kali, Eksan turut merayu agar diberikan kebenaran untuk berjumpa sambil bertanya ‘hina sangatkah ustaz macam saya ini?.

 

Namun pegawai dan pengawal keselamatan tetap berkeras enggan memberikan perlepasan.

 

“Ada dikalangan kami yang terpaksa bekerja di stesyen minyak, ada yang terpaksa menjual burger untuk menampung kehidupan.

 

“Mengapa saya dihalang, saya hanya sampaikan surat sahaja?” soalnya lagi.

 

Gagal berjumpa Azmin dan barisan Exco, Ekhsan mula membacakan surat terbuka yang padanya mewakili suara semua guru KAFA di Selangor.

 

Malah beliau dilihat turut mengalirkan airmata ketika membacakan surat terbuka itu mengenangkan nasib yang menimpa rakan-rakan setugasnya.

 

Guru Kafa 2 Surat itu kemudiannya diterima oleh Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar, Datuk Mohamad Yasid Bidin dan berjanji akan membawa isu itu kepada pengetahuan pihak atasan.

 

Ekhsan berkata bukan itu sahaja, guru-guru KAFA seolah-olah dinafikan hak mereka untuk diserap masuk sebagai guru tetap.

 

“Sehingga kini kekosongan guru tetap (DG29) tetap menjadi rebutan umpama seketul daging yang mahu dilahap oleh ribuan karnivor. Kekosongan jawatan tetap tersebut untuk tahun ini sahaja diisi oleh ribuan guru KAFA dan dipanggil temuduga seramai lebih kurang 500, namun yang menerima jawatan hanya 66 orang sahaja.

 

“Apakah nasib guru-guru KAFA yang hanya berstatus sambilan sahaja? Kami dibuat seperti penagih yang dahagakan jawatan tetap manakala kebajikan kami sebagai guru yang bertanggungjawab memegang amanah mendidik,tidak diendahkan” ujarnya lagi.

 

Beliau mendakwa dirinya mewakili suara lebih 10,000 guru KAFA di negeri itu menyerahkan surat terbuka mengenai tuntutan kenaikan elaun tersebut untuk perhatian besar dan exco-exco yang berkaitan.

 

Exco SelangorSementara itu Kerajaan negeri Selangor tidak pernah bercadang untuk menaikkan elaun guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) daripada RM1,300 kepada RM1,500 sebulan, kata Exco Selangor, Dr. Ahmad Yunus Hairi.

 

Beliau berkata jikapun kerajaan negeri Selangor mempunyai hasrat untuk menaikkan kadar elaun itu, banyak aspek yang perlu dikaji.

 

Yunus berkata demikian mengulas tuntutan kenaikan elaun oleh seorang guru KAFA yang dilaporkan membuat kecoh di DUN Selangor pagi tadi.

 

“Tidak ada kenaikan. Sebab ia tidak diperuntukan dalam Belanjawan 2015,” katanya yang ditemui media di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, tengah hari semalam.

 

Bekas Exco Pendidikan, Dr Halimah Ali sebelum ini pernah berkata pelaksanaan kenaikan elaun guru KAFA menjadi salah satu rancangan kerajaan negeri, sebagaimana yang dijanjikan di dalam manifesto PR pada PRU-13.

 

Namun kenaikan itu harus selaras dengan penambahan waktu pengajaran dengan jangka masa yang lebih munasabah.

 

Elaun guru KAFA sebelum ini adalah RM738.30 kemudian dinaikkan kepada RM1,000 selepas Pakatan Rakyat mentadbir negeri.

 

Pada Februari 2013, ia sekali lagi dinaikkan kepada jumlah terkini iaitu sebanyak RM1,300 sebulan.

 

Mengulas lanjut, Yunus berkata tindakan Ekhsan itu tidak wajar dan guru agama itu sepatutnya bersikap lebih profesional.

 

“Tapi kalau dari segi tata caranya tidak betullah lebih-lebih lagi dia seorang guru KAFA kita boleh bincang sebenarnya tidak perlu merempuh dan sebagainya sesuatu yang tidak baik,” ujar ADUN Sijangkang itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.