Tun M Akan Hubungi Sirul

Kuala Lumpur – Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaan untuk menghubungi Sirul Azhar Umar yang kini berada di Australia.

 

Menurut Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar, perkara itu disampaikan sendiri bekas Perdana Menteri ketika mengadakan pertemuan dengan Piah Ahmad, di Yayasan Seri Perdana, Putrajaya pada petang Rabu.

 

“Saya akan aturkan perbualan telefon itu dan berharap Tun akan tahu apa yang harus dilakukan selepas itu,”katanya.

 

Dalam sidang media yang diadakan di lobi Parlimen, Mahfuz berkata Dr Mahathir mengulangi pendirian siasatan baharu perlu dijalankan dan kenyataan itu memberi harapan kepada ibunya.

 

“Tun juga mengulangi bahawa tidak wajar Sirul dibawa ke tali gantung apabila pengakuan yang dibuat hanyalah menjalankan arahan.”

 

“Oleh itu Tun merasakan satu siasatan baharu harus dilakukan semula,” jelasnya.

 

Jelasnya, pertemuan selama 40 minit antara Dr Mahathir dengan ibu Sirul terpaksa dirahsiakan atas sebab tertentu bagi mengelak sebarang halangan yang mungkin timbul.

 

Perkara berkenaan diketahui umum selepas gambar pertemuan itu tersebar di laman sosial.

 

Ketika ditanya mengenai rahsia yang mungkin diketahuinya selepas bertemu Sirul di Australia, Ahli Parlimen Pokok Sena itu enggan mengulas.

 

“Biarlah ia menjadi rahsia antara saya dan Sirul,” katanya.

 

Sirul kini berdepan dengan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah melakukan pembunuhan ke atas Altantuya Shaaribuu.

 

Bagaimanapun keputusan itu dipersoalkan kerana dia dilihat menjadi kambing hitam dan Dr Mahathir dalam tulisannya di chedet.cc meminta kerajaan melakukan siasatan penuh bagi menyeret dalang sebenar ke muka pengadilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.