Suspek Baling Bom Petrol Berjaya Ditahan

ALOR SETAR – Lelaki yang disyaki membaling molotov koktail ke arah sebuah bank di Simpang Kuala, di sini, petang semalam diberkas polis malam tadi.

 

Suspek berusia lingkungan 30-an itu diberkas jam 11 malam di kediamannya di Taman Bersatu, dekat Kuala Kedah, di sini, kira-kira lapan jam selepas kejadian itu.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, mengesahkan penahanan suspek untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, kerana mendatangkan bencana dengan api.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, seorang lelaki dilapor membaling bom petrol jenis molotov koktail ke arah sebuah bank di Simpang Kuala, selepas dikatakan berang kerana hasratnya mengeluarkan wang RM10,000 di bank berkenaan sebelum itu, gagal berikutan akaun miliknya sudah ditutup.

 

Difahamkan, suspek yang berang dikatakan memarahi juruwang bank yang bertugas sebelum berlalu meninggalkan premis terbabit.

 

Suspek bagaimanapun kembali ke bank itu kira-kira sejam kemudian sebelum terus membaling bom api berkenaan ke arah bank dan melarikan diri. – BHARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.