Remaja Lelaki Dipenjara, Sebabkan Kematian Gadis Di Bendang

Kuala Lumpur – Seorang remaja lelaki yang dituduh menyebabkan kematian seorang remaja perempuan di kawasan bendang terbiar 2 tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi di Alor Setar.

 

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Choo Ka Sing menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Firdaus Mohd Faridul, 20, setelah dia mengaku bersalah pada 26 Mac, 2015 atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304 (a) yang membawa hukuman penjara 30 tahun dan denda.

 

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap, iaitu 15 Januari, 2014.

 

Tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

Firdaus, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Noor Syafikah Nadia Abdullah, 14, di kawasan bendang terbiar di Kampung Alor Senibong, Mukim Tajar, Alor Setar antara 9.30 malam dan 11.30 malam, 29 November, 2013.

 

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian.

 

Dalam penghakimannya, Choo berkata, mangsa mati dalam keadaan terseksa, apabila kepalanya direndam di dalam air berlumpur.

 

Malah, terdapat 300 mililiter air lumpur di dalam perut, dan juga di bahagian paru-paru mangsa.

 

Terdapat kecenderungan keganasan dalam perlakuan tertuduh, katanya.

 

“Mangsa tidak mati secara segera, mangsa berusaha mencari kekuatan untuk bernafas di dalam air yang berlumpur,” katanya.

 

Choo turut menasihatkan tertuduh agar bertaubat dan tidak melakukan kesalahan itu selain memulakan kehidupan baharu setelah selesai menjalani hukuman.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib manakala tertuduh diwakili Burhanudeen Abd Wahid.

 

Pada 30 November, 2013 mayat Noor Syafikah Nadia ditemui di kawasan bendang terbiar dalam keadaan tertiarap manakala mayat dua adiknya iaitu Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemui dalam terusan Mada di Kampung Padang Tani, dekat Alor Semela pada 1 Disember, 2013.

 

Sebelum itu mereka dikatakan keluar rumah pada 29 November dengan menunggang motosikal kira-kira 7.30 malam. – Bernama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.