Ranking Harimau Malaya terburuk dalam sejarah

Kuala Lumpur – Senarai ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini menyaksikan kedudukan Malaysia terus merosot daripada kedudukan ke-153 kepada 164.

 

Lebih mengecewakan, skuad negara dipintas negara-negara kerdil, seperti Timor-Leste, Kyrgyzstan dan Bhutan, di mana Bhutan sebelum ini berada di kedudukan tercorot dalam ranking berkenaan.

 

Malaysia jatuh 11 anak tangga berbanding ranking ke-153 yang dikeluarkan FIFA pada 12 Mac lalu, di mana skuad negara ketika itu berkongsi kedudukan dengan Myanmar dan Singapura.

 

Kedudukan yang dicapai skuad kebangsaan itu merupakan pencapaian terburuk, sejak ranking itu diperkenalkan FIFA pada Disember 1992.

 

Malaysia sebelum ini pernah berada di kedudukan ke-73, pada Ogos 1993 dan ranking terbaru ini seolah-olah menunjukkan jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh perlu menekan butang panik, menjelang undian kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, pada Selasa depan.

 

Namun begitu, Malaysia berada di kedudukan ke-33 di peringkat Asia dan kedudukan ketujuh di Asia Tenggara, di belakang Vietnam (125), Filipina (139), Thailand (142), Timor Leste (152), Myanmar (158), Indonesia (159) dan Singapura (162).

 

Juara Piala Dunia 2014, Jerman terus mengukuhkan kedudukan selaku pasukan terbaik dunia, dengan mengumpul 1,687 mata, manakala naib juara Piala Dunia 2014, Argentina di kedudukan kedua dengan 1,490 mata.

 

Belgium pula merampas kedudukan ketiga daripada sebuah lagi wakil Amerika Selatan, Colombia dengan mengutip 1,457 mata, berbanding Colombia yang hanya mengutip 1,412 mata di kedudukan keempat.

 

Kedudukan ranking FIFA itu membabitkan 209 negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.