POTA: Takkan Sudah Terantuk Baru Tengadah?

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dilihat tepat pada masanya berikutan peningkatan penularan elemen keganasan dalam negara kebelakangan ini.

 

Rang undang-undang tersebut dibahaskan di Dewan Rakyat pada Selasa selama lebih 12 jam sebelum diluluskan tanpa sebarang pindaan, disifatkan langkah bijak kerajaan dalam menjaga keselamatan rakyat dan negara.

 

POTA juga bukanlah sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dengan kuasa eksekutif menteri akan diambil alih oleh sebuah lembaga yang dilantik Yang di-Pertuan Agong.

 

Secara ringkasnya, POTA bertujuan membanteras kegiatan keganasan di negara ini berikutan keseriusan ancaman keganasan yang dicetuskan kumpulan militan, termasuk IS.

 

Hakikatnya ancaman keganasan kini tidak boleh disangkal lagi.

 

Pada Ahad misalnya, polis menahan sekumpulan 17 orang disyaki pengganas yang dikaitkan dengan IS, yang merancang menculik orang kenamaan, serang lokasi strategik dan seterusnya tubuhkan rejim IS di Malaysia.

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika mendedahkan perkara itu berkata 17 suspek berkenaan ditahan di sekitar Kuala Lumpur dan Kedah ketika mereka sedang melakukan pertemuan sulit bagi merancang untuk melancarkan serangan di sekitar Lembah Klang.

 

Terbaru, seorang lagi rakyat Malaysia ditahan di stesen kereta api Padang Besar, Perlis, Isnin lepas.

 

Dengan tangkapan itu menjadikan 93 rakyat Malaysia ditahan sejak Februari 2013 kerana disyaki terlibat dalam aktiviti militan.

 

Bak kata Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin ketika menyokong rang undang-undang itu; ‘Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna.

 

“Dah terantuk baru tengadah, dah terkena, baru nak berbicara, jika dah tahu kesannya tapi tidak mahu mencegah maka itu bukan pemimpin yang bijaksana”.

 

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan mencadangkan akta berkenaan kerana mendapati keperluan satu undang-undang khas bagi membanteras kegiatan keganasan di negara ini malah sejak kebelakangan ini terdapat rakyat Malaysia yang terbabit dengan kegiatan itu di luar negara.

 

“POTA tidak memberi kuasa kepada menteri untuk melaksanakannya dan kerajaan memberi jaminan tidak ada campur tangan dengan kuasa politik,” katanya mengenai rang undang-undang itu yang baru diluluskan Dewan Rakyat, dalam sesi soal jawab pada Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat Malaysia di Jakarta, Indonesia Selasa malam.

 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata rang undang-undang tersebut tidak menafikan pelbagai hak mereka yang ditahan di bawah undang-undang itu termasuk untuk memaklumkan alasan tangkapan dan hak untuk menemui waris serta mendapatkan khidmat peguam pilihan masing-masing.

 

“Saya memberi jaminan rang undang-undang ini telah mengambil kira hak asasi manusia yang perlu diberikan keutamaan sepenuhnya,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang berkenaan.

 

Katanya POTA tidak sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dengan kuasa eksekutif menteri akan diambil alih oleh sebuah lembaga yang dilantik Yang di-Pertuan Agong.

 

Lembaga berkenaan perlu mempunyai kelayakan undang-undang serta mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 15 tahun dalam bidang perundangan.

 

“Tahanan 60 hari di bawah ISA dibuat oleh polis sedangkan di bawah POTA, tahanan 60 hari dibuat melalui proses mahkamah,” kata Wan Junaidi.

 

Oleh itu hujah yang mengatakan ISA merupakan kembar POTA adalah hujah tidak berasas.

 

Sementara itu Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mua’mar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata undang-undang bagi menangani ancaman keganasan ini perlu disokong oleh semua pihak kerana ia berlandaskan prinsip pencegahan daripada berlakunya sesuatu kerosakan.

 

Ancaman IS bukan ilusi dan pengaruhnya tidak tertumpu kepada negara-negara Timur Tengah sahaja, kerana bukti kewujudannya telah pun muncul di Asia Tenggara termasuk rakyat Malaysia sendiri!. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.