PKR Dijangka Pilih Nurul Nuha

Kuala Lumpur – Nurul Nuha Anwar disebut-sebut bakal dipilih menjadi calon Parti keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

 

Sumber dalaman daripada PKR Pusat memaklumkan kepada FMT, Nurul Nuha atau lebih mesra dipanggil Nuha merupakan calon terbaik untuk mengekalkan legasi ayahnya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

 

“Anwar masih mempunyai pengaruh yang kuat di Permatang Pauh dan PKR memerlukan calon yang sangat rapat dengan Anwar dan keluarganya untuk mengekalkan kerusi Permatang Pauh,” katanya.

 

Sumber itu berkata, pimpinan PKR mungkin tiada masalah dengan pilihan itu kerana tiada seorang pemimpin PKR yang benar-benar menonjol setakat ini.

 

Anak kedua Anwar, Nuha, 31, merupakan suri rumah tangga berkelulusan Ijazah Teknologi Seni Visual dari Universiti George Mason, Amerika Syarikat.

 

Sumber itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Presiden PKR, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail bertanding semula di Permatang Pauh.

 

Katanya, jika Wan Azizah bertanding ia kemungkinan ada kaitan dengan usaha menyekat Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dari dilantik menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

 

“Umum sudah tahu Wan Azizah tidak sehaluan dengan Azmin dan beliau serta beberapa pemimpin PKR lain akan berusaha menyekat kemaraan Azmin,” katanya yang meminta supaya identitinya dirahsiakan.

 

Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Parlimen Gombak antara calon yang menjadi tumpuan oleh DAP dan PAS untuk menggantikan Anwar sebagai Ketua Pembangkang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.