Pemain NBA, Teman Wanita Ditikam Di Luar Kelab Malam New York

New York – Seorang pemain bola keranjang Persatuan Bola Keranjang Nasional (NBA), teman wanitanya dan seorang lagi wanita ditikam selepas berlaku pergaduhan di tepi jalan raya berdekatan sebuah kelab malam di Manhattan, malam tadi.

 

Susulan kejadian itu, dua lagi pemain NBA ditahan pihak berkuasa.

 

Pemain tengah skuad Indiana Pacers, Chris Copeland, 31, cedera ditikam di siku kirinya dan di perut.

 

Copeland memulakan karier bola keranjangnya di NBA dengan menyertai New York Knicks pada usia lewat 28 selepas bermain di Eropah beberapa tahun sebelum itu.

 

Jurulatih Pacers, Frank Vogel, berkata Copeland menjalani pembedahan di bahagian siku dan abdomen serta dijangka berada di hospital sepanjang malam.

 

Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku sebelum jam 4 pagi di luar 1Oak Club, kelab malam yang digemari dalam kalangan selebriti antaranya, Justin Bieber dan Snoop Dogg untuk menghabiskan masa bersama kenalan, demikian menurut polis.

 

Polis berkata, Copeland dan teman wanitanya dikatakan bertekak di tepi jalan sebelum seorang lelaki tiba-tiba datang dan cuba untuk campur tangan.

 

Perkelahian itu berlarutan sehingga penyerang berusia 22 tahun mengeluarkan pisau dan mula megacukan tikaman.

 

Pemandu Copeland berjaya menahan suspek sehingga polis tiba.

 

Katrine Saltara, teman wanita Copeland cedera akibat dikelar di lengan dan dadanya, manakala seorang lagi wanita dipercayai bersama suspek penyerang ditikam di perut.

 

Pemain kelab Atlanta Hawks, Pero Antic, 33, dan Thabo Sefolosha, 30, yang tidak bersama Copeland tetapi berada di kelab sama, ditahan selepas cuba menghalang pegawai polis daripada memulakan siasatan di tempat kejadian.

 

Antic dan Sefolosha kemudian dibebaskan tanpa jaminan selepas dituduh menghalang penjawat awam menjalankan tugas namun hakim mendapati mereka tidak melakukan kesalahan jenayah. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.