Mat Sabu Beri Bayangan Akan Pertahan Jawatan

KUALA LUMPUR – Mohamad Sabu membayangkan akan mempertahankan jawatan kedua tertinggi PAS yang disandangnya pada pemilihan parti Jun ini apabila menjelaskan peranannya membantu memperluaskan pengaruh parti itu.

 

Pendirian tersebut dapat dilihat menerusi kenyataannya yang menegaskan peranan beliau sebagai timbalan presiden yang melengkapi tugas presiden parti, terutamanya dalam membantu memperluaskan pengaruh PAS kepada bukan Islam dan badan bukan kerajaan (NGO).

 

“Saya bantu (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) perluas pengaruh PAS kepada bukan ahli, NGO dan bukan Islam dari semasa ke semasa. Presiden sibuk dengan tugas yang banyak di peringkat negeri dan antarabangsa terutama berkaitan Islam.

 

“Maka ruang yang lain saya cuba bantu melebarkan pengaruh PAS. Itu peranan yang saya mainkan,” katanya sambil menolak dakwaan bahawa beliau tidak membantu presiden dalam parti.

 

Bagaimanapun, beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menegaskan keputusan sebenar sama ada bertanding atau sebaliknya hanya akan ditentukan selepas 1 Mei ini.

 

“Saya tak mahu komen apa-apa. Tunggu selepas 1 Mei,” katanya ringkas.

 

Jelasnya, buat masa ini beliau belum membuat sebarang keputusan kerana sibuk dengan beberapa tugasan terutamanya persiapan untuk Himpunan #KitaLawanGST pada 1 Mei ini.

 

“Saya tak buat analisa lagi dan nak tunggu perkembangan. Saya juga sibuk ke sana ke sini. Blog orang hentam saya pun tak sempat nak tengok. Saya tumpu untuk lawan Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.