Khairat Kematian BR1M Tampung Kehidupan

SUNGAI PETANI – Seorang anak orang kurang upaya (OKU) bersama ibunya bergantung kepada wang khairat kematian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diterima setelah kematian ketua keluarga Januari lalu.

 

Nor Madiah Zakaria, 58, dari Taman Keladi, Sungai Petani bersama anak bongsu OKU, Nor Fatihah Bahari, 20, hanya menggunakan perbelanjaan harian menerusi BR1M RM300 dan Khairat Kematian BR1M RM1,000 yang diterimanya.

 

Menurutnya, sehingga kini, dia masih menunggu proses penukaran pencen arwah suami, Bahari Cha, 63, kepada namanya yang masih belum selesai.

 

“Semasa suami meninggal, wang BR1M masih ada dan kami hanya gunakan wang tersebut untuk berbelanja.

 

“Namun selepas itu, ada saudara yang menguruskan proses mendapatkan khairat kematian sehingga berjaya menerima RM1,000 Februari lalu yang digunakan dalam tempoh dua bulan ini,” katanya.

 

Sementara itu, Nor Fatihah ketika dikunjungi Sinar Harian di rumahnya sering memeluk gambar arwah bapanya ke mana sahaja sehingga kadang-kala dilihat mengalirkan air mata akibat kesedihan.

 

Nor Fatihah yang dikatakan mempunyai masalah jantung berlubang menjelaskan dia sering teringatkan arwah bapanya yang gemar melayan kerenahnya.

 

Sementara itu, Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Mhd Farimy Mhd Fauzy berkata, borang permohonan sudah diserahkan kepada Nor Madiah untuk diisi dan dikembalikan bagi tujuan proses permohonan bantuan.

 

Katanya, pihaknya akan mempertimbangkan bantuan bulanan yang sesuai kepada keluarga itu memandangkan Nor Madiah tidak bekerja. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.