Hudud: Dibawa Ke Sidang Akan Datang

KUALA LUMPUR – Sebarang Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian itu hanya boleh dibentangkan ke Parlimen dengan kebenaran Speaker Dewan Rakyat mengikut keutamaan dan turutan pemakluman notis yang lebih awal.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata tiada satu pun RUU Persendirian ditolak oleh Dewan Rakyat sebaliknya ia akan dibawa pada persidangan akan datang kerana faktor masa.

 

“Speaker akan memutuskan rang undang-undang ini mengikut keutamaan dan mengikut siapa yang mendahului.

 

“Jadi RUU persendirian ini (bidang kuasa Mahkamah Syariah) harus dihantar lebih awal kepada Speaker,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

 

Pada persidangan pagi tadi, Shahidan memaklumkan bahawa Dewan Rakyat tidak akan berhenti bersidang selagi mana RUU Hasutan (Pindaan 2015) termasuk usul Kementerian Kewangan diluluskan pada hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen (BN-Arau) berkata, RUU persendirian lain telah dibawa lebih awal berbanding RUU yang akan dibawa oleh Ahli Parlimen (Pas-Marang), Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

“Semalam, kerajaan terpaksa menolak tiga RUU disebabkan kita merasakan tidak cukup masa sedangkan RUU itu cukup penting iaitu bil pemerdagangan manusia kerana ia ada hubung kait dengan antarabangsa dan pihak Amerika Syarikat.

 

“Kemudian bil itu biarlah cukup tempoh. Kita kena ingat bahawa hari ini kita menghadapi masalah disebabkan kekurangan masa untuk membincangkan bil Akta Hasutan,” ujarnya.

 

Ketika ditanya tentang pendirian Umno dan BN berhubung RUU yang bakal dibawa Abdul Hadi itu, beliau bagaimanapun berkata tindakan Umno Kelantan mestilah mendapat restu daripada ibu pejabat parti itu sebelum membuat sebarang keputusan.

 

“Adakah Umno Kelantan itu Umno persendirian Kelantan, itu adalah Umno Persekutuan, itu adalah Umno Pusat, itu adalah Umno Malaysia yang akan berurusan memberikan pandangan,” katanya.

 

Beliau turut menegaskan pendirian itu tidak sewajarnya dibebankan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak semata-mata.

 

“Sebab apa Umno Kelantan telah buat keputusan mengenai hudud, adakah itu keputusan Umno Kelantan.

 

“Umno Kelantan juga seperti parti-parti lain tidak buat sesuatu benda tanpa kebenaran daripada ibu pejabat,” katanya lagi. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.