Edar Syabu: Benjy Berdepan Hukuman Gantung Sampai Mati

MUAR -Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim, 37, atau lebih dikenali sebagai Benjy sempat menyergah jurugambar ketika dibawa ke kenderaan polis selepas dia dan rakannya, Raja Shariff Hidayatullah Raja Shariffudin, 27, didakwa di M ahkamah Majistret, di sini, terhadap tuduhan mengedar dadah jenis syabu, semalam.

 

Walaupun berdepan hukuman gantung sampai mati, Benjy yang juga anak dramatis terkenal dilihat masih mampu bergurau dengan rakannya itu sebelum menaiki kenderaan polis untuk meninggalkan Kompleks Mahkamah Muar.

 

Kedua-dua tertuduh sebelum itu didakwa terhadap tuduhan mengedar dadah berkenaan seberat kira-kira 1.3 kilogram.

 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori.

 

Mengikut kertas tuduhan, kedua-dua mereka didakwa mengedar dadah berkenan seberat 1,318.27 gram yang ditemui dalam kereta yang mereka naiki ketika ditahan dalam sekatan jalan di depan stesen minyak Jalan Pagoh-Muar pada jam 1.40 pagi, 27 Mac lalu.

 

Ketika tuduhan dibacakan di depan Majistret Mohd Syafiq Mustaza, kedua-dua tertuduh yang memakai pakaian lokap mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain manakala kedua-dua tertuduh diwakili Aqeeb Lizalman Nordin Zamery dan Farhan Read.

 

Peguam bela tertuduh kemudian memohon mahkamah untuk mendapatkan kertas tuduhan anak guam mereka selain meminta laporan kimia dipercepatkan.

 

Muhammad Shukri kemudian memaklumkan pihaknya tidak mempunyai masalah dengan permintaan peguam bela tertuduh, tetapi memaklumkan laporan kimia memerlukan masa untuk disiapkan.

 

Mohd Syafiq kemudian menetapkan 28 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.