Black Buat Laporan Polis Kerana Anak Dihina

Laporan Berita Harian online menyebut Penyanyi, Black, akan membuat laporan polis dalam waktu terdekat terhadap seorang penuntut sebuah universiti tempatan yang menghina anak sulungnya, Khaleef Dayan, di laman Instagram miliknya.

 

Pemilik nama sebenar Hanifah Md Hanafiah, 28, itu berkata tindakan tersebut terpaksa diambil supaya peminat tidak sewenang-wenangnya mengutuk di laman sosial artis.

 

Beliau berkata, perkara itu juga akan dibawa ke mahkamah selepas mendapat nasihat peguam.

 

“Saya terpaksa membawa perkara ini ke tengah supaya rakan artis lain tidak mengalami nasib sama. Selepas menghina anak saya, individu berkenaan juga mengutuk anak pasangan pengacara, Awal Ashaari dan Scha Alyahya.

 

“Jadi, saya tidak mahu lebih ramai artis ataupun orang lain terkena. Saya ambil tindakan ini untuk mengajar masyarakat supaya mereka lebih berhati-hati apabila menulis sebarang komen,” katanya.

 

Kata Black, perkara terbabit akan dibawa ke mahkamah kerana beliau dikritik masyarakat selepas membuat kenyataan berhubung perkara itu pada sebuah program hiburan, baru-baru ini.

 

“Saya dikritik masyarakat sehingga menyebabkan fikiran saya terganggu. Saya juga terlepas sebuah tawaran gara-gara komen yang kedengaran agak kasar itu. Jadi, saya ingin mencari individu berkenaan sampai dapat dan meminta beliau membuat permohonan maaf secara terbuka,” katanya.

 

Pada Mac lalu, Black yang ditemuramah program Melodi meluahkan kekecewaan apabila anaknya diberi gelaran tidak baik oleh seorang pengikut laman sosialnya sebaik saja beliau menunaikan janji menunjukkan wajah anak sulung selepas tamat tempoh berpantang isterinya, Naquia Yasirah Mohd Khairi, 29.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.