Beri Peluang Kepada Najib – Muhyiddin

Jakarta – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi peluang kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat kerja dengan caranya tersendiri demi kepentingan rakyat.

 

Timbalan Perdana Menteri berkata, mungkin tidak semestinya setiap perkara yang dibuat oleh kerajaan hari ini dipersetujui oleh Dr. Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri dan begitu juga semasa kepimpinannya, ada juga keputusan yang dibuatnya tidak dipersetujui semua orang.

 

 

“Ada pandangan berbeza, tetapi biarlah pimpinan kerajaan hari ini cuba laksanakan perkara yang kita fikir beri impak kepada pembangunan sosioekonomi rakyat menerusi program transformasi, rasionalisasi subsidi, bantuan rakyat dalam bentuk BR1M dan sebagainya, ada impaknya walaupun Tun tidak begitu bersetuju dengan perkara begitu,” katanya kepada pemberita di sini.

 

Timbalan Perdana Menteri berada di Jakarta sempena lawatan kerja tiga hari yang berakhir hari ini.

 

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah bekas Perdana Penteri itu diketahui umum sebagai seorang tokoh dan pemimpin sebelum ini dan beliau masih mempunyai pandangan, berpengaruh dan ada pengikutnya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.