Bayi Telan Skru Meninggal Dunia

SIK – Setelah berada dalam keadaan koma selama enam hari akibat tertelan sebatang skru dalam kejadian di Kampung Dusun Pengapit, Jeneri dekat sini, Khamis lepas, akhirnya seorang bayi berusia 10 bulan, Muhamad Hafif Khairi Abful Nasser menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar kira-kira pukul 5.52 petang semalam.

 

Ibu mangsa, Morshida Abdullah, 39, berkata, ketika kejadian pukul 8 pagi pada 2 April lalu, anak bongsu daripada empat adik-beradik itu berada dalam kerusi roda bayi di ruang tamu sebelum tiba-tiba meronta kerana sukar bernafas.

 

“Ketika itu saya mengemas meja dan anak saya berada di atas kerusi roda bayi berhampiran dengan saya.

 

“Tiba-tiba perasaan saya merasakan sesuatu tidak kena lalu berpaling melihat anak saya dan ketika itu saya dapati keadaannya seperti sukar bernafas,” kata Morshida kepada pemberita di rumahnya hari ini.

 

Katanya, dia percaya anaknya itu mengambil skru berkenaan dalam laci meja yang terletak di ruang tamu itu.

 

“Saya segera mengangkatnya lalu menepuk belakang. Saya cuba menghulurkan jari ke dalam mulut anak saya itu untuk mengeluarkan sesuatu namun tidak berjaya.

 

“Saya dapat merasakan seperti ada benda keras dalam kerongkongnya tetapi tidak berjaya mengeluarkan benda itu,” katanya.

 

Tambah ibu tunggal itu, dengan bantuan adiknya, me­reka membawa mangsa ke Hospital Sik dan doktor berjaya mengeluarkan sebatang skru sepanjang dua sentimeter yang ditelan oleh bayi terbabit.

 

Menurutnya, doktor terpaksa memindahkan anaknya itu ke HSB untuk rawatan lanjut setelah mangsa tidak sedarkan diri.

 

“Setelah enam hari berada di ICU, akhirnya anak saya meninggal dunia semalam,” kata Morshida.

 

Morshida bagaimanapun reda dengan ketentuan Illahi dan anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gajah Putih dekat sini pada pukul 2 pagi hari ini.

 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid ketika mengunjungi keluarga berkenaan berkata, beliau amat sedih dengan kejadian yang menimpa bayi tersebut.

 

“Memandangkan ibunya seorang ibu tunggal dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan, saya akan cuba membantunya sedaya upaya,” kata beliau.

 

Katanya, untuk peringkat awal, beliau akan menyumbangkan bantuan barang makanan dan wang perbelanjaan sementara mendapatkan sebarang pekerjaan untuk ibu tunggal tersebut. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.