100,000 Unit Kediaman Untuk Penjawat Awam – PM

KUALA LUMPUR – bagi menjaga kebajikan penjawat awam yang banyak menabur jasa, kerajaan bersetuju membina 100,000 unit kediaman di bawah Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) di seluruh negara.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak pernah lupa jasa dan pengorbanan yang diberikan oleh penjawat awam dan akan terus berusaha untuk memastikan kebajikan serta keselesaan mereka sentiasa terjaga.

 

Malah katanya, kebelakangan ini sering kedengaran keluh kesah warga kota untuk memiliki rumah sendiri dengan ruang yang lebih selesa dan harga yang mampu milik termasuklah dalam kalangan penjawat awam.

 

“Penjawat awam juga rakyat biasa yang mempunyai cita-cita yang sama, impian yang sama dan aspirasi yang sama. Berdasarkan kesedaran ini, kerajaan melancarkan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) supaya penjawat awam dapat memiliki satu unit kediaman yang dibiayai kerajaan dalam pelbagai konsep pembangunan.

 

“Ini merupakan hasrat kita yang diterjemahkan dan beberapa projek sudah dilaksanakan. Pada April 2013, saya telah mengumumkan pembangunan sebanyak 10,336 unit rumah PPA1M di Putrajaya,” katanya sewaktu berucap pada majlis pelancaran dan sesi cabutan undi PPA1M Bukit Jalil di sini hari ini.

 

Yang turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn. Bhd., Tan Sri Chai Kin Kong.

 

Di Bukit Jalil, bilangan unit kediaman untuk PPA1M adalah sebanyak 1,536 unit dan projek itu dimajukan oleh Aset Kayamas Sdn. Bhd.

 

Najib berkata, perumahan-perumahan yang akan dibina kerajaan itu akan dijual kepada penjawat awam pada harga mampu milik dan di bawah nilai pasaran semasa.

 

Beliau berkata, menerusi pembangunan perumahan itu, penjawat awam akan terikat dengan moratorium atau unit kediaman tidak boleh dijual dalam tempoh 10 tahun.

 

Katanya, perumahan itu bukan sahaja memberi lebih nilai, sebaliknya dikira sebagai satu ‘durian runtuh’ kepada penjawat awam.

 

Sementara itu, Najib berkata, PPA1M Bukit Jalil pula berlainan daripada biasa kerana akan dijalankan secara subsidi bersilang.

 

Beliau memberitahu, sebidang tanah diluluskan untuk pihak pemaju dan sebahagian daripada tanah ini akan dimajukan secara komersial manakala sebahagian lagi tanah itu akan dibina unit-unit kediaman untuk penjawat awam.

 

Katanya, jika dibandingkan dengan projek perumahan bersebelahan di Bukit Jalil, PPA1M dijual pada harga RM150 hingga RM 210 bagi setiap kaki persegi berbanding RM550 hingga RM600 bagi setiap kaki persegi, mengikut pasaran semasa.

 

“Bagi projek ini, nilai ditawarkan pada RM150,000 hingga RM300,000 seunit berbanding RM605,000 hingga RM728,000 seunit bagi projek bersebelahan,” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.