Seminar Wasatiyyah : Ambil Islam Secara Menyeluruh

BANGI, 9 April – Wasatiyyah bererti mengambil dan melaksanakan Islam secara menyeluruh termasuk dalam aspek dakwah, ekonomi, jihad dan politik.

Berpandukan ayat 143 dalam Surah Al-Baqarah, perkataan moderat atau kesederhanaan bukanlah terjemahan literal bagi wasatiyyah, akan tetapi wasatiyyah sebenar bermaksud yang terbaik.

Oleh itu, Malaysia perlu berusaha ke arah melaksanakan syariat Islam sepenuhnya sesuai dengan penghayatan wasatiyyah yang disebut oleh Perdana Menteri.

Demikian jelas Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS) Prof Madya Dr Aznan Hasan ketika diminta mengulas mengenai ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa ‘Penghayatan Wasatiyyah Dalam Kerangka Maqasid Syariah’ di Menara Felda, Kuala Lumpur malam tadi.

Tambahnya, perkataan wasatiyyah dan maqasid sering kali disalah tafsir dan disalah guna.

“Antara salah guna istilah wasatiyyah adalah apabila menafsirkan jihad tidak termasuk dalam konteks wasatiyyah, padahal jihad adalah sebaik wasatiyyah.

“Maqasid pula boleh dikatakan sebagai matlamat utama pensyariatan itu sendiri iaitu pelaksanaan syariah,” ujar beliau.

Datuk Seri Najib malam tadi dalam ucapannya mahu Malaysia memainkan peranan ke arah penubuhan Indeks Maqasid Syariah Antarabangsa bagi mengukur komitmen sesebuah negara dalam melaksanakan syariat Islam.

Beliau juga menegaskan bahawa hak asasi mestilah berpandukan kepada syariah Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.