Penjual Burger Dipenjara Kerana Miliki Senjata Berbahaya

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM700 ke atas seorang penjual burger hari ini kerana memiliki senjata berbahaya, iaitu sebilah kerambit, Jumaat lalu.

Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman itu terhadap Azlan Adnan, 23, selepas dia mengaku bersalah memiliki senjata berukuran 14cm itu yang diletakkan di dalam beg.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Public Bank, Jalan Pasar, di sini, pada jam 3.10 pagi 4 April lalu.

Nur Azura memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap tertuduh, iaitu pada 4 April.

Terdahulu, peguam Noor Mousa Azaddin yang mewakili Azlan memohon agar hukuman dikurangkan kerana tertuduh perlu menanggung keluarga memandangkan ayahnya bekerja sebagai juruelektrik dan ibunya bekerja di kilang.

Azlan didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Ravindran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.