Video: Perarakan Hari Wanita Di KL Dicemari Laungan Slogan ‘Hidup LGBT’

KUALA LUMPUR – Walaupun sedar gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak sesuai dengan budaya masyarakat di negara ini, masih ada penyokong golongan berkenaan mahukan gaya hidup berkenaan diiktiraf.

Dalam satu himpunan dan perarakan yang diadakan di sini hari ini, penyokong LGBT dirakam melaungkan slogan seperti “Hidup LGBT” dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu.

Walaupun perarakan itu bertujuan untuk meraikan Hari Wanita Sedunia yang disambut semalam, kelibat penyokong LGBT dilihat mencemarkan perarakan tersebut.

Menurut Sinar Harian, kira-kira 1,000 orang hadir dalam perhimpunan dan perarakan tersebut yang bermula dari pusat beli belah Sogo hingga ke Masjid Jamek.

Selain slogan pro-LGBT, peserta turut melaungkan desakan supaya menghentikan perkahwinan kanak-kanak serta menuntut penghapusan diskriminasi jantina, menamatkan keganasan terhadap wanita dan memperkukuh hak wanita.

Portal Malaysiakini pula melaporkan lima tuntutan perarakan tersebut yang merangkumi penolakan terhadap perkahwinan kanak-kanak; memastikan hak dan kebebasan wanita untuk membuat pilihan atas tubuh serta nyawa mereka sendiri; memastikan gaji minimum RM1,800; menamatkan segala keganasan berdasarkan jantina dan orientasi seksual serta memusnahkan patriarki dan membina demokrasi tulen dalam semua peringkat masyarakat.

Malaysiakini walau bagaimanapun melaporkan hanya kira-kira 300 peserta yang hadir. – UTUSAN

2 thoughts on “Video: Perarakan Hari Wanita Di KL Dicemari Laungan Slogan ‘Hidup LGBT’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.