DAP Bimbang Kerjasama UMNO, PAS Bakal Gugat PH – Dr Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Kenyataan demi kenyataan daripada pemimpin DAP berhubung kerjasama UMNO-Pas jelas menunjukkan parti itu bukan sahaja melakukan provokasi, memiliki sikap buruk sangka dan ketakutan tidak berasas tetapi juga memperlihatkan mereka tidak mempunyai sikap seorang negarawan.

Sedangkan kerjasama politik adalah perkembangan sihat dalam mana-mana parti politik profesional dan perkembangan yang berlaku sekarang bukan luar biasa kerana ia berlaku di seluruh dunia.

Kerjasama itu seharusnya dilihat sebagai strategi politik dan bukannya satu ancaman kepada negara.

Ia juga bukan sesuatu yang luar biasa kerana DAP pun pernah bergabung dengan Pas sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.

Penganalisis dan pemerhati politik tempatan, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berpandangan, DAP sebenarnya kurang senang dengan kerjasama UMNO-Pas kerana khuatir orang Melayu yang pernah menyokong Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu akan beralih ‘angin’.

Katanya, pola pengundi pada PRU-14 menunjukkan bahawa 40 peratus pengundi Melayu mengundi Barisan Nasional (BN), paling jelas adalah kepada UMNO dan 30 peratus lagi adalah undi untuk Pas.

Hanya 30 peratus sahaja orang Melayu mengundi PH (Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Parti Amanah Negara dan Parti Keadilan Rakyat).

Kalau melihat pola itu memang ternyata UMNO dan Pas mempunyai kekuatan nyata dalam kalangan orang Melayu, sedangkan PH pula mendapat undi apabila 95 peratus bukan Melayu keluar mengundi.

Tetapi, kata Kok Seong, kesilapan demi kesilapan PH selepas 10 bulan memerintah negara menyebabkan 30 peratus pengundi Melayu yang memilih mereka pada PRU-14 telah mula beransur-ansur menyokong BN.

“Faktor inilah kebimbangan PH, khususnya DAP yang mendominasi kerajaan sekarang. Ditambah pula BN terutama UMNO, walaupun kalah tetapi semakin hari semakin matang menguruskan parti, sedangkan PH yang menjadi kerajaan gagal menguruskan kejayaan mereka.

“Pemimpin asyik menyalahkan penjawat awam, sedangkan sudah jadi kerajaan. Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan langsung tidak menjaga keharmonian negara yang berbilang kaum. Dasar-dasar yang mahu dilaksanakan memberi kebimbangan kepada penduduk majoriti.

“Contohnya isu Sijil Peperiksaan Bersepadu dan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Isu ICERD paling signifikan apabila orang Melayu bersatu dan berhimpun.

“DAP juga masih mengamalkan racial (berpuak-puak), langsung tidak memperlihatkan perjuangan mereka kepada kesaksamaan pelbagai kaum,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelas beliau lagi, komen-komen keras dan kurang senang DAP dengan kerjasama UMNO-Pas turut tidak menonjolkan identiti nasional yang inklusif sebagai salah satu parti dalam kerajaan.

Tindakan dan provokasi oleh DAP ini sebenarnya merugikan DAP kerana secara jelas menunjukkan parti ini tidak mempunyai imbangan yang bijak dalam menguruskan sebuah negara pelbagai kaum.

“Akibatnya sekarang, 30 peratus orang Melayu yang menyokong PH dahulu rasa kesal dan kembali kepada BN. Apabila ini berlaku, DAP ketakutan,” ujarnya.

Kok Seong percaya, kerjasama UMNO-Pas tidak akan mengancam bukan Melayu kerana kedua-duanya adalah parti matang dan bijak menangani isu.

Tidak mustahil katanya, dengan kerjasama yang kini mendapat sokongan MCA memberi kelebihan kepada MCA juga pada jangka sederhana.

“Masyarakat Malaysia amat menghargai keamanan dan MCA lebih berhemah dan rasional berbanding DAP yang agresif dalam menangani isu-isu membabitkan agama, perkauman dan insaniah.

“Kalau MCA bekerja kuat, parti ini juga mendapat sokongan bukan Melayu, kalau bukan jangka pendek tetapi jangka sederhana. Logiknya rakyat tidak mahu parti yang disokong terlalu politiking kerana pada akhirnya pembangunan negara dan rakyat adalah jauh lebih penting,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.