WikiLeaks Dedah Rahsia CIA Godam Maklumat Media Sosial Termasuk Whatsapp

WASHINGTON – Laman sesawang antarabangsa yang terkenal dengan penyiaran dokumen-dokumen rahsia, WikiLeaks mendedahkan bahawa mereka memperoleh maklumat berkaitan cara penggodaman yang dilakukan Agensi Risikan Pusat (CIA).

Antara bentuk penggodaman itu ialah memintas perbualan telefon serta beberapa aplikasi yang digunakan untuk tujuan komunikasi termasuk penggunaan gajet-gajet elektronik.

Menurut WikiLeaks, semua bentuk perhubungan termasuk dalam bentuk aplikasi terkini seperti WhatsApp, Telegram dan Signal daripada agensi itu juga berjaya digodam.

Jurucakap CIA, Jonathan Liu dalam satu kenyataan balas bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkaitan ketulenan laporan itu atau kandungannya yang dikatakan mengandungi dokumen-dokumen berkaitan risikan.

WikiLeaks sebelum ini dilapor telah menerbitkan hampir 9,000 dokumen yang dibocorkan daripada CIA dan dokumen itu disifatkan sebagai penerbitan bahan risikan rahsia terbesar setakat ini.

“Koleksi luar biasa ini membabitkan beratus-ratus juta kod risikan dan memberikan pemiliknya kemampuan menggodam CIA,” kata WikiLeaks sambil memberi amaran terhadap risiko pengawalan senjata siber.

Jika terbukti dokumen yang didakwa itu milik CIA, kebocoran maklumat tersebut bakal menjadi sesuatu yang amat memalukan kepada badan risikan terbabit.

Jelas WikiLeaks lagi, data itu menunjukkan bahawa CIA kini sudah menyaingi kemampuan Agensi Keselamatan Nasional (NSA), iaitu sebuah badan risikan elektronik kerajaan Amerika Syarikat dalam perang siber pada peringkat antarabangsa. – REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.