Video – Isu KU: Tak Mahu Terperangkap, Kerajaan Buat Keputusan Tepat

KUALA LUMPUR – Pakar Geostrategis, Azmi Hassan berkata, tindakan yang diambil oleh Malaysia berhubung isu Korea Utara adalah tepat kerana Malaysia berpegang kepada dasar luar yang diamalkan selama ini.

Beliau berkata, tindakan yang dibuat kerajaan dari hari pertama berlakunya insiden pembunuhan tersebut juga menunjukkan Malaysia tidak mahu ‘terperangkap’ dengan percaturan politik antarabangsa sekali gus tidak mengikut telunjuk Korea Utara dan kuasa besar yang lain.

 

“Dari hari pertama lagi apabila perkara ini berlaku, pegangan atau prinsip kita adalah mencari keadilan dengan mengikut peruntukan undang-undang kita. Ini kerana peristiwa ini berlaku dalam negara kita. Walaupun Korea Utara menekan kita, kita menepisnya. Dan jangan lupa negara lain juga menekan kita selain Korea Utara dan kita juga menepisnya,”katanya dalam temubual eksklusif SuaraTV, di pejabatnya hari ini.

Beliau yang mengulas mengenai persepsi negara luar terhadap Malaysia menegaskan, tindakan yang diambil negara adalah melibatkan peraturan geopolitik antarabangsa yang dilihat menerima kesan amat positif.

“Saya melihat ini sebagai satu tanda-tanda positif (dari segi persepsi negara luar yang menilai tindakan Malaysia).

“Ini kerana, Malaysia berpegang kepada prinsip keadilan. Bayangkan Malaysia sebagai negara kecil, mengekalkan hubungan diplomatik dan inilah manfaatnya,”katanya.

Menurutnya, Malaysia sanggup berdepan dengan negara bukan sahaja Korea Utara bahkan kuasa-kuasa besar lain.

“Malaysia berpegang kepada dasar luar yang tidak memihak kepada mana-mana negara. Dan itulah dasar luar yang kita amalkan selama 40 tahun ini,”katanya.

Bagaimanapun menurutnya, rakyat mungkin tidak serasi dan tidak prihatin dengan dasar luar yang diamalkan oleh Malaysia.

“Masalah Korea Utara ini dikatakan seperti menterjemahkan apa dasar luar kita. Walaupun menerima tekanan tetapi kita tetap menekankan tentang keadilan, kepentingan kita dan maruah kita serta kedaulatan kita. Jadi pandangan dan persepsi negara luar terhadap kita adalah persepsi yang baik kerana kita berpegang kepada dasar luar kita,”katanya.

Beliau berkata, sebelum ini ada negara luar (barat) yang mempunyai isu yang hampir sama dengan Malaysia, namun tidak dapat menyelesaikan isu tersebut seperti yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mampu menangkap dua suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong Nam.

Terdahulu, isu Malaysia dan Korea Utara menjadi tegang selepas berlaku insiden pembunuhan Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, kim Jong Un, di KLIA2, baru-baru ini.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.